Rakyat Malaysia dilarang ulang-alik ke Singapura dan Thailand mulai esok
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan warga Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, tidak lagi boleh berbuat demikian mulai esok hingga 31 Mac ini.
Ia selepas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan perintah kawalan pergerakan, yang antara lain turut melarang warga Malaysia ke luar negara.
"Tidak dibenarkan bermula esok hingga 31 Mac," kata Khairul kepada Malaysiakini menerusi Whatsapp.
Khairul berkata larangan sama turut melibatkan mereka yang berulang-alik ke Thailand setiap hari.
Penjelasan itu menjawab persoalan yang dibangkitkan berkenaan warga Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura.
Dalam pengumuman semalam, Muhyiddin menyenaraikan langkah-langkah untuk mengehadkan pergerakan awam, seperti melarang perhimpunan massa dan penutupan sementara premis perniagaan melainkan pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Warga Malaysia dilarang ke luar negara manakala mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.
Premis kerajaan dan swasta juga dijangka ditutup bermula esok, kecuali perkhidmatan penting seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. -Mkini