Tok Mat dedah rancangan undi percaya kepada Tun M adalah untuk memerangkap PH
Labels:
Hj Mohamad bin Hj Hasan
PAGOH- Rancangan PAS untuk melakukan undi percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad bulan lalu dirancang untuk mengganggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menggagalkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang mempengerusikan jawatankuasa perundingan Muafakat Nasional (MN), berkata ia adalah sebahagian tugas mereka sebagai pembangkang ketika itu.
"Itu sebabnya dalam mesyuarat kita katakan, PAS buat kenyataan, kita buat undi percaya kepada perdana menteri, kerana kita tau Bang Non (Anwar) nak jadi perdana menteri.
"Undi percaya pada PM Mahathir, kita bubuh satu bom asap, tengok macam mana dia lari tengah malam atau pun tak.
"Kita memang rancang begitu, supaya biar dia kelam kabut, dia dah syak wasangka antara satu sama lain. Itulah yang retakkan kedua-dua belah.
"Zaman kita sekarang zaman pelik, memang pelik. Mana ada pembangkang nak undi percaya kepada perdana menteri. Pembangkang selalunya buat undi tak percaya, dia (PH) pening kepala," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Pagoh pagi ini.
Video ucapan tersebut disiarkan oleh laman Facebook Umno Online.
Desakan penyokong Anwar kepada Mahathir untuk meletakkan jawatan dikatakan sebagai sebab mengapa Bersatu bergabung dengan Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan baru.
Langkah itu mencetuskan krisis politik yang menyebabkan Mahathir meletak jawatan.
Ia berakhir dengan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menjadi tonggak gabungan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, BN, dan PAS, dengan sokongan dari GPS.
Mohamad juga menafikan bahawa Umno merampas kuasa daripada kerajaan PH.
"Sebenarnya kita tak merampas kuasa sesiapapun. Kerajaan Pakatan Harapan yang jatuh, kerajaan Pakatan Harapan yang terbubar," katanya.
Bagaimanapun, beliau juga mengatakan bahawa sekiranya kerajaan PH dibiarkan maka ia akan menyebabkan orang Melayu menderita.
"Kerajaan PH kalau kita biar lagi 2 hingga 3 tahun akan datang, kemudaratan yang amat dasyat kepada orang Melayu dan agama Islam.
"Itu yang kita perlu cegah, itu yang perlu kita turunkan mereka segera, tapi mereka turun terlalu cepat kita pula ternganga," katanya berseloroh.
sumber: MalaysiaKini