Adab dakwah Ustaz Ebit luar biasa, tidak pernah menghakimi -Menteri Belia
Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican telah menjemput Ustaz Ebit Lew ke pejabatnya dan memberi kata-kata semangat setelah usaha baik beliau membantu orang susah dikecam oleh beberapa individu yang tidak senang dengan perkara itu.
Baru-baru ini Ustaz Ebit dikecam oleh beberapa individu termasuk orang-orang kuat Menteri Besar Kedah setelah beliau turun membantu sebuah keluarga Pak Aq yang hidup serba daif di Alor Setar, Kedah.
Berikut adalah kenyataan Menteri Belia Sukan di Facebook rasminya:
Menjadi lumrah, dalam setiap usaha yang kita lakukan tentu sekali ada ujian dan cabaran yang akan kita temui.
Secara peribadi, saya mengkagumi penat jerih seorang yang bernama Ustaz Ebit Lew menjalankan kerja dakwah di seluruh negara. Adab dakwahnya luar biasa. Tidak pernah menghakimi. Membawa ayat dan bahasa yang menusuk jauh ke sudut hati.
Malangnya, beliau sering berhadapan ujian yang adakalanya bukan kecil. Seperti yang pernah beliau ungkapkan sendiri; lelah dan adakala menangis dengan dugaan berterusan.
Ujian dan cabaran ini hadir dalam pelbagai wajah. Kekuatan, ketahanan dan ketabahan diri menjadi perisai untuk kita mengecapi kejayaan.
Saya mendoakan Ustaz Ebit Lew terus diberi kekuatan dan ketabahan di dalam menempuhi liku-liku perjuangan memperluas dakwah agama Allah SWT.
Bertabahlah dengan segala ujian dari-Nya kerana kasih sayang Allah mengatasi segalanya. Allah SWT akan melindungi mereka yang ikhlas dan jujur menjaga syiar agama-Nya.
Allahummarhu Ya Allah
-Tun Carlos