Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Andai kata Mahathir tangani Covid-19"


ULASAN | Ramai pihak memuji cara Malaysia mengendalikan Covid-19. Hari ini jumlah kes yang dilaporkan adalah yang terendah sejak PKP (Perintah Kawalan pergerakan) diperkenalkan.

Semalam jumlah kes yang dilaporkan di Malaysia adalah 69. Ia memang suatu berita yang mengembirakan tetapi kita tidak boleh terlalu ghairah dengan statistik ini dan kena terus waspada dan berdisiplin dalam menangani ancaman Virus Covid ini yang telah melumpuhkan ekonomi dunia dan telah menundukkan kuasa-kuasa dunia.

Ramai pihak memberikan pujian kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah atas cara beliau menangani masalah ini.




Global TV Network (CGTN) pula telah menobatkan beliau sebagai antara tiga doktor terbaik di dunia dalam peperangan melawan Covid. Beliau juga dengan penuh rendah diri (humble) telah mengatakan pujian tersebut bukan untuk dirinya tetapi adalah kepada usaha kolektif negara dalam menangani wabak Covid-19.

Sekarang saya berfikirkan andaikata – retrospeksi bayangkan Tun Mahathir diberikan pujian seumpama itu. Kemungkinan besar beliau tanpa segan akan berkata, “Mereka semua sukakan saya, saya rasa macam seperti melambung di udara.”

Saya membuat ramalan sinis ini kerana dunia hari ini menyaksikan bagaimana ahli-ahli politik dan pemimpin yang angkuh menangani isu Covid dan bagaimana ia membawa padah kepada rakyat kerana keangkuhan dan ego mereka.

Golongan pemimpin ini lebih mengutamakan bagaimana menyelamatkan ekonomi daripada menyelamatkan nyawa rakyat.




Sebelum ini Boris Johnson, perdana menteri UK menghujahkan bahawa cara terbaik menangani virus ini adalah membiarkan virus ini merebak kepada golongan majoriti rakyat manakala kerajaan melindungi satu kumpulan minoriti yang sudah berusia dan mungkin menghadapi masalah kesihatan.

Idea yang mungkin akan menyebabkan ribuan orang mati itu diambil kerana dirasakan adalah lebih baik daripada menyelamatkan ekonomi. Namun akhirnya, beliau sendiri terpaksa dimasukkan dalam ICU kerana virus ini.

Namun keangkuhan perdana menteri UK ini sudah pasti tidak dapat menyiangi keangkuhan Presiden Amerika Syarikat – Donald Trump.

Trump dikatakan begitu seronok untuk memberikan update harian masalah Covid-19 padahal ramai orang amat gusar setiap kali beliau membuka mulut.




Jumlah kes di Amerika Syarikat (US) terkini telah mencecah 685,005 pada hari Jumaat dengan jumlah kematian sebanyak 35,481. Angka ini jauh melebihi 2,977 orang yang mati semasa serangan pengganas 911.

Satu kajian yang dibuat oleh AFP melaporkan hampir dua pertiga rakyat US mengatakan Trump terlalu lambat mengambil langkah menangani ancaman pandemik koronavirus.

Ini memang betul di mana apabila ancaman virus itu diutarakan kepada Trump, beliau dengan angkuh mengatakan ia bukan satu ancaman besar dan ia hanya seperti selsema.

Beliau juga pada awalnya begitu ghairah untuk membuka ekonomi US menjelang hari Easter. Namun hari ini, walaupun memang ada kelemahan besar pada kuasa dunia tersebut, tetapi Trump terus dengan angkuh menuduh orang lain seperti media, negara China, Pertubuhan Kesihatan dunia (WHO) dan parti demokratik.




Di Brazil pula, presidennya Jair Bolsonaro yang juga dikenali sebagai Trump Brazil terkenal dengan slogan, “Let’s Make Brazil Great Again” merupakan satu lagi pemimpin dunia yang angkuh yang sudi mengorbonkan rakyatnya sendiri demi untuk membuka ekonomi.

Beliau hari ini telah memecat menteri kesihatan beliau yang popular kerana berpendirian menteri itu sebagai seorang doktor tidak tahu kepentingan membuka balik ekonomi negara.

Beliau turut berkata virus ini hanya "selesema kecil" dan mengkritik gabenor negeri-negeri kerana mengarahkan sekatan pergerakan yang didukung oleh menteri kesihatan, Luiz Henrique Mandetta yang juga merupakan seorang pakar perubatan.

Wabak ini hari ini sudahpun meragut nyawa hampir 2,000 rakyat negara Brazil.




Kepercayaan kerajaan pada Noor Hisham

Sekarang kita balik kepada Malaysia. Satu sebab mengapa krisis ini kemungkinan ditangani dengan lebih baik adalah kemungkinan besar Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk mengendalikan dan menyelaraskan krisis ini.

Jika kita melihat cara beliau membentang laporan harian dan menjawab soalan dari pihak akhbar, kita dapat merasakan ada satu sifat profesionalisme yang dipaparkan.

Kita juga tidak melihat unsur-unsur politiking, membodek mahupun mengampu parti pemerintah.

Selain itu, beliau juga langsung tidak menunjukkan bias perkauman dan melihat semua pesakit sebagai pesakit.




Sebagai seorang pakar perubatan, beliau memang memahami tugasnya dengan lebih baik. Kita juga boleh membezakan cara beliau menangani isu ini berbanding dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba iaitu seorang ahli Umno.

Jika benar kerajaan PN termasuk Perdana Menteri memberikan mandat kepada Dr Noor Hisham Abdullah tangan bebas untuk menangani krisis ini, maka ia adalah keputusan bijak dan pendirian yang baik.

Sekarang bayangkan retrospeksi, Tun Mahathir pula menerajui negara. Maka saya boleh bayangan keghairahan beliau untuk bercakap kepada media.

Orang lain mungkin tidak berani bercakap kerana takut berpendirian berbeza dengan PM yang serba tahu semua.




Mungkinkah keangkuhan Mahathir akan membawa padah?

Kita tahu bahawa semasa krisis matawang dan kemelesetan ekonomi, Mahathir dipuji sebagai menyelamatkan negara. Namun hakikat sebenarnya adalah beliau berjaya menyelamatkan kroni beliau termasuknya anaknya.

Pada masa itu, rakyat biasa, pekerja dibuang kerja sewenang-wenangnya di mana kerajaan langsung tidak memainkan peranan proaktif untuk menjaga kaum pekerja.

Cadangan kami pada masa itu untuk menangguhkan bayaran hutang bank juga langsung tidak diendahkan.

Minta rakyat ubah cara hidup

Sudah tentu, jika Tun Mahathir mengemudi negara, beliau sudah pasti akan meminta para pekerja membuat pengorbanan.

Baru-baru ini dalam satu temubual, Dr Mahathir berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa pendapatan mereka akan berkurangan selain risiko kehilangan pekerjaan selepas pendapatan syarikat mengalami kemerosotan.

Beliau juga meminta rakyat untuk mengubah gaya hidup dan bersedia untuk hidup dengan pendapatan yang lebih rendah.

Mendengar kenyataan ini, saya amat bergembira bahawa Tun Mahahtir tidak menjadi PM semasa kita menangani krisis virus ini.

Kita memerlukan pendekatan saintifik, profesional, kabur perkauman dan prihatin kepada rakyat berpendapatan rendah.

Trump, Jair Bolsonaro dan Mahathir; selain keangkuhan, formula mereka adalah kepentingan pemodal mengatasi kepentingan rakyat biasa.

Ditulis oleh: S ARULCHELVAN
Beliau adalah seorang pemimpin pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

BACA: Dr Dzulkefly dedahkan himpunan tabligh bermula ketika Mahathir jadi PM Interim