COVID-19: Jokowi punyai alasan sendiri tidak laksanakan "lockdown" di Indonesia
JAKARTA: Indonesia tidak menguatkuasakan 'lockdown' atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan COVID-19.
Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berkata sekiranya dilaksanakan, pemerintah menghadapi pelbagai kekangan bagi menyediakan keperluan asas untuk beratus juta rakyat di negara itu, yang juga mendiami lebih 16,000 pulau.
Di dalam satu wawancara ekslusif bersama wartawan Najwa Shihab pada 21 April lalu, Jokowi berkata beliau memilih untuk tidak melaksanakan "lockdown" adalah kerana untuk mengelakkan kerajaan terpaksa menanggung beban yang terlalu banyak bagi melaksanakan pakej bantuan kepada jutaan rakyatnya.
"Kalau lockdown atau kuarantin wilayah (kawalan pergerakan antara wilayah) bagaimana nasib pekerja harian (pekerja yang mendapat upah harian) dapat bekerja?," katanya.
"Bukan kerana masalah bajet, kita juga belajar dari negara-negara lain apakah lockdown itu berhasil menyelesaikan masalah?"
"Cuba tunjukkan negara mana yang berhasil melakukan lockdown dan mampu menghentikan masalah ini? Tak ada."
"Mana? Tunjukkan. Tiada, kerana setiap hari saya selalu ada diberikan informasi (mengenai status Covid-19)."
"Setiap negara mempunyai tingkat kesihatan, pendidikan, disiplin, geografi dan kemampuan fiskal yang berbeza. Jadi tak boleh kita meniru negara lain dan sampai saat ini saya melihat tidak ada formula yang pasti yang mampu menyelesaikan masalah Covid-19 ini."
Pada 31 Mac lepas, Jokowi mengumumkan negara itu berstatus darurat kecemasan kesihatan dan menerusi penetapan status itu, beliau tidak mengarahkan diadakan "lockdown" atau kuarantin, sebaliknya hanya memerintahkan penjarakkan sosial berskala besar dilaksanakan dalam semua aspek aktiviti masyarakat.
Jokowi juga sebelum ini telah mengumumkan pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyatnya yang terkesan akibat pandemik itu, antaranya memberikan bantuan kewangan Rp600,000 sebulan (kira-kira RM170) bagi tempoh tiga bulan kepada golongan miskin, selain bantuan kad sembako (kad membeli barangan keperluan asas) bernilai Rp200,000 kepada lebih 20 juta ketua keluarga.
Sekalipun tiada larangan keluar rumah, kotaraya Jakarta dan kota lain di Indonesia, kini "sepi" berikutan beberapa langkah secara berperingkat-peringkat sejak 16 Mac lepas.
Sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, pusat hiburan ditutup serta arahan bekerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal.
Larangan berhimpun atau berkumpul dalam skala besar, pembatasan penggunaan pengangkutan awam, selain kempen "duduk di rumah".
Setakat hari ini Indonesia mencatatkan 8,882 kes positif dan 743 kematian akibat Covid-19.
BACA: Jumlah terkini Covid-19 di Malaysia dan seluruh dunia
-Tun Carlos