Dituduh langgar PKP, polis buka siasatan ke atas anak Presiden UMNO
KUALA LUMPUR – Laporan lengkap kertas siasatan melibatkan dakwaan perlenggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Siasatan mendapati Nurul Hidayah telah memuat naik gambar dalam Instagram dengan kapsyen berbunyi ” Selepas selesai dengan Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam sekitar untuk berjumpa Yb Datuk Masrizal Timbalan Menteri. Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah antara cara saya dan Datuk Dr. Masrizal sejak dahulu menjadi Setiausaha Politik kepada Abah@Ahmad Zahid Hamidi tidak beberapa lama dahulu. A Dear Friend to our family.”.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melakukan tanpa kebenaran.
“Kedua-dua mereka telahpun diambil keterangan pada 24 April 2020 dan setelah siasatan dilengkapkan, PDRM akan merujuk kertas siasatan tersebut kepada Pejabat Peguam Negara,’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Huzir menasihatkan orang ramai agar tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan perlanggaran PKP.
“PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapa pun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa jua undang-undang negara,” tegas beliau.
Pada 20 April lalu, anak perempuan presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu mencabar pihak yang mengkritiknya atas dakwaan melanggar PKP supaya membuat laporan polis ke atasnya.
Status komen itu dinaikkannya dalam status Instagram peribadinya beserta gambar bersama suaminya berdiri di pekarangan bangunan Kementerian Alam Sekitar di Putrajaya sebagai membalas ulasan pengguna Instagram yang menyatakan ‘semua ini boleh dibuat melalui panggilan video’.
Nurul kemudian membalas dengan kata: “Reportlah polis tak payah komen sini. Saya sedia bagi keterangan dari saya. Saya cabar,”. – MalaysiaGazette
BACA: Dr Adham mangsa dengki dan dendam PH