Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Gambaran rupa Dajjal mengikut hadis-hadis Nabi


MUQADDIMAH dan kemunculan

(1)     Di dalam artikel kali ini insyaAllah kita akan membincangkan rupa bentuk Dajjal berdasarkan Hadis-hadis Nabi S.A.W. Boleh bayangkan gambaran rupanya.

Di akhir zaman, akan berlakunya peperangan yang besar, yang berlaku pada zaman pemerintahan Imam Mahdi. Pertempuran ketika itu antara Beliau dan as Sufyani.

(2)     Setelah itu, muncullah Dajjal Laknatullah. Perkara ini akan dijelaskan lagi dalam artikel lain berkaitan plot-plot akhir zaman, insyaAllah.

Antara yang disebutkan oleh Baginda S.A.W berkenaan rupa Dajjal;

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : (( بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أَطُوفَ بِالْبَيْتِ … )) فَذَكَرَ أَنَّهُ رَأَى عِيْسَى بنَ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ، ثُمَّ رَأَى الدَّجَّالَ فَوَصَفَهُ فَقَالَ : (( فَإِذَا رَجُلٌ جَسِيْمٌ أَحْمَرٌّ جُعْدُ الرَّأْسِ أَعْوَرُ العَيْنِ ، كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِئَةٌ ))

“Daripada Ibnu Umar R.A, bahawasanya Nabi S.A.W bersabda: “Ketika aku tertidur, aku bermimpi sedang tawaf di Kaabah …” Kemudian Baginda S.A.W mengatakan bahawa Baginda S.A.W bermimpi melihat Nabi Isa A.S, kemudian bermimpi pula melihat Dajjal Laknatullah, lalu Baginda S.A.W menyifatkannya: “Dia (Dajjal) adalah seorang lelaki yang bertubuh besar, kemerah-merahan, rambut yang kerinting, cacat matanya, seolah-olah matanya seperti anggur yang timbul”

(Shahih Bukhari: 6595)


عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ الدَّجَّالَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ النَّاسِ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَيْسَ بِأَعْوَرَ أَلاَ وَإِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِئَةٌ

“Daripada Ibnu Umar R.A, bahawa Nabi S.A.W menyebut mengenai Dajjal Laknatullah di khalayak ramai: “Sesungguhnya Allah S.W.T tidak cacat matanya, tetapi Dajjal Laknatullah cacat mata kanannya seolah-olah biji matanya seperti anggur yang timbul (terapung)”

(Shahih Bukhari: 5218)

Kecacatan fizikal

(1)     Berdasarkan dua Hadis sebelum ini, kita dapat tahu bahawa Dajjal itu adalah seorang manusia dan berjantina lelaki, yang mengalami kecacatan fizikal.

Di dalam Hadis yang lain, yang hampir sama maksudnya, Nabi S.A.W bersabda;


عَنْ النُّوَّاسِ بنِ سَمْعَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي وَصْفِ الدَّجَّالِ : إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّي أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ

“Daripada Nuwwas bin Sam’an R.A, Nabi S.A.W bersabda ketika menyifatkan rupa bentuk Dajjal Laknatullah: “Dia adalah seorang pemuda yang kerinting rambutnya (yang pendek), biji matanya timbul, seperti aku mengumpamakan seperti Abdul Izzi bin Qatni”


(Shahih Muslim: 5228)

عَنْ عُبَادَةَ بنِ صَامِتٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ أَفْحَجُ جَعْدٌ أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ وَلاَ جَحْرَاءَ فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ

“Daripada Ubadah bin Shamit R.A, Nabi S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Dajjal Laknatullah adalah seorang lelaki yang (kelihatan) pendek yang menjengkelkan, berambut kerinting, cacat yang tertutup matanya, tidak terkeluar (biji matanya) dan tidak pula berada di dalam soketnya (soket mata). Sekiranya dia (Dajjal) berada di zaman kamu, ketahuilah bahawa Tuhan kamu (Allah S.W.T) tidaklah cacat matanya”

(Sunan Abi Daud: 4322)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَأَمَّا مَسِيحُ الضَّلاَلَةِ فَإِنَّهُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ أَجْلَى الْجَبْهَةِ عَرِيضُ النَّحْرِ فِيهِ دَفَأ

“Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “…. Manakala al Masih (Dajjal) yang sesat, sesungguhnya dia mengalami kecacatan mata, luas dahinya, besar lehernya dan terdapat bonjol (bongkok).”

(Musnad Imam Ahmad: 8124)


Berbangsa Yahudi dan fizikal

(1)     Jika diperhatikan secara keseluruhan, kita akan dapati bahawa Dajjal ini dapat dikenali dengan mudah. Cuma yang menjadi bandingan ialah fitnah-fitnah yang diproduksikan.

Antara yang jelas;


عَنْ حُذَيْفَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى جُفَالُ الشَّعَرِ

“Daripada Huzaifah R.A, Nabi S.A.W bersabda: “Dajjal Laknatullah cacat mata kirinya, lebat rambutnya.”

(Shahih Muslim: 5222)

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَإِنَّ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مَكْتُوبٌ كَافِرٌ

“Daripada Anas R.A, Nabi S.A.W bersabda: “… Dan sesungguhnya di antara kedua matanya tertulis perkataan kafir.”

(Shahih Bukhari: 6598)




(1)     Rumusan beberapa Hadis di atas dan beberapa Hadis lain dan tafsiran ulamak, Dajjal Laknatullah boleh disifatkan dengan sifat-sifat berikut:

a-      Seorang Manusia Berbangsa Yahudi dan mandul

Dajjal Laknatullah adalah seorang manusia yang berketurunan Nabi Adam A.S, bukanlah jin sepertimana yang dikatakan oleh beberapa pandangan. Dajjal Laknatullah juga berbangsa Yahudi dan mandul, tidak boleh melahirkan anak.

b-     Seorang yang pendek dan gemuk

Dajjal adalah seorang yang pendek dan bertubuh besar (gemuk). Tubuh badannya agak pelik berbanding manusia yang lain.

c-     Berkepala dan berleher besar

Kepalanya juga bersaiz besar tidak seperti saiz kepala manusia biasa. Dia juga memiliki leher yang besar, iaitu sehingga menutup bentuk dagunya.

Seolah-olah kepalanya bersambung terus ke tubuhnya, kerana lehernya terlalu gemuk. Tidak kelihatan bentuk dagu, bawah kepalanya dan kawasan di atas dada.




Sifat-sifat yang diperselisih

Selain daripada 3 rupa yang boleh dilihat  dengan jelas, ada beberapa rupa yang perlu diteliti, bahkan diperselisihkan oleh ulamak.

a-     Berwarna putih kemerah-merahan

Kulit tubuhnya berwarna putih, kelabu atau kemerah-merahan seperti warna pipinya. Warna coklatnya tidak terlalu kelihatan dan warna pada tubuhnya agak berbeza dengan warna kulit manusia biasa.

b-     Rambutnya lebat dan kerinting

Rambut Dajjal Laknatullah lebat dan kerinting, tetapi pendek. Kerinting tersebut agak berlainan dengan kekerintingan manusia biasa dan ia kelihatan agak kasar. (tidak lembut)

c-     Botak di bahagian atas kepala

Di bahagian atas kepalanya adalah botak, iaitu kawasan satu perdua di bahagian atas. Seolah-olah mengalami keguguran rambut. Manakala sepertimana yang diceritakan sebelum ini, bahagian satu perdua di sebelah bawah agak lebat dan kerinting.




d-     Sebelah matanya buta, dan sebelah lagi cacat

Mata kanannya buta, bahkan bentuk matanya yang buta agak mencacatkan. Ia seolah-olah anggur yang timbul, mungkin biji matanya yang buta tersembul keluar atau sebagainya.

Manakala mata kirinya yang dapat melihat berwarna kehijauan dan menjegil. Sangat buruk rupa bentuk matanya. Perkara ini juga terdapat perselisihan dalam beberapa riwayat

e-      Tertulis ‘kafir’ di antara kedua matanya

Selain itu, di antara kedua-dua belah matanya tertulis ‘kafir’ dan tulisan tersebut tidak boleh dihilangkan. Tulisan tersebut juga dapat dilihat dengan jelas oleh mereka yang beriman dan turut difahami oleh mereka yang buta huruf.

Ia tertulis dalam tulisan Arab iaitu Huruf Kaf, Fa dan Ra, yang bermaksud ‘kafir’. Ada juga riwayat menyebut ‘kafir’.


Gambaran tambahan

Selain itu, antara yang perlu diperhatikan juga adalah gambaran-gambaran tambahan yang ada pasal Dajjal.

a-     Jarak di antara kedua betisnya lebar

Jarak di antara dua betisnya agak lebar dan ada yang mengatakan kedua-dua kangkangnya agak lebar, jauh di antara satu sama lain.

Seolah-olah kedua-dua kakinya sentiasa mengangkang dan tidak dirapatkan. Mungkin dengan sebab inilah, cara berjalannya kurang stabil.

b-     Menunggang seekor keldai yang gagah dan pantas

Dajjal Laknatullah juga menunggang seekor keldai yang luar biasa. Di sana terdapat juga yang mentakwilkan bahawa ia adalah kapal terbang, atau jet.

Namun, apa yang disifatkan oleh Nabi S.A.W adalah sebuah kenderaan yang sangat ajaib yang boleh bergerak dalam kelajuan.


c-     Bersamanya beberapa ekor syaitan yang bercakap dalam pelbagai bahasa

Syaitan yang bersama-sama dengan Dajjal Laknatullah berfungsi sebagai pengalih bahasa, atau membantu kefahaman bagi mereka yang mendengarnya.

Setiap bangsa yang terdapat di dunia ini mampu memahami bahasa yang dituturkannya kerana kewujudan syaitan-syaitan ini. Walaupun bahasa isyarat sekalipun bagi mereka yang tidak mendengar.

d-     Terdapat dua orang malaikat yang memberi peringatan sebelum ketibaannya

Sebelum ketibaan Dajjal Laknatullah di sesebuah tempat, terdapat dua orang malaikat yang akan memberi peringatan kepada penduduk kawasan tersebut mengenai kehadiran Dajjal Laknatullah.

Mereka adalah pemberi peringatan kepada penduduk kawasan tersebut supaya tidak terpedaya dengan tipu daya Dajjal Laknatullah.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL