Hasil Kerajaan negeri terhad, semua perlu ikat perut semasa PKP -Mukhriz
ALOR SETAR: Kerajaan negeri mula melaksanakan perbelanjaan kewangan berhemah bagi memastikan wabak COVID-19 tidak terlalu memberi kesan kepada hasil ekonomi negeri Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat diminta berbelanja mengikut keperluan termasuk ketika menggunakan wang bantuan yang diterima.
Katanya, kerajaan negeri akan berusaha memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan seperti biasa, walaupun berhadapan kutipan hasil yang terhad ketika ini.
"Kita sudah bincang dalam Mesyuarat EXCO dan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) mengenai impak ekonomi dan rakyat, jadi pendekatan ikat perut perlu kita ambil.
"Di pihak kerajaan negeri memang kita amalkan, jadi kita akan belanja dengan berhemah kerana menyedari hasil yang kita dapat agak terhad dalam keadaan PKP ini.
"Pada masa sama, kita perlu pastikan perkhidmatan kepada rakyat berterusan walaupun dalam keadaan kekangan," katanya di Wisma Darul Aman di sini, semalam.
Mengulas mengenai situasi COVID-19 ketika ini, Mukhriz berkata, Kedah menjadi antara negeri terendah jangkitan wabak itu apabila seramai 91 individu disahkan positif dan 65 pesakit pulih.
"Sehingga semalam, Kedah melaporkan satu kematian dan seramai 25 pesakit masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan seorang di Hospital Sultanah Malihah (HSM).
"Kita juga sudah melaksana program pencegahan ancaman di setiap daerah bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal terutamanya di Kuala Muda, Kota Setar dan Kubang Pasu," katanya.
Bagaimanapun, Mukhriz berkata, terdapat penurunan kepada kadar pematuhan PKP apabila Kedah mencatat 93 peratus berbanding 95 peratus sebelum ini.
sumber: Berita Harian