Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pelajar belum dibenar balik kampung walaupun PKP dilanjutkan -Menteri Pertahanan


Pelajar yang kini tinggal di kolej kediaman semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), belum dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing, kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kabinet sudah menerima cadangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara itu, dan ia kini sedang diteliti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, katanya, sekiranya pelajar dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, ia akan melibatkan bilangan pelajar yang besar.




“Pelajar ada lebih kurang hampir 80,000 pelajar di seluruh negara, iaitu pelajar IPTA dan IPTS.

“Jumlah yang kita dapat itu adalah daripada pelajar-pelajar yang tinggal di kampus kolej, tidak termasuk pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus, yang menyewa rumah sendiri dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Oleh hal yang demikian, kata Ismail, KKM akan menilai kesan pergerakan seumpama itu, bukan hanya kepada diri pelajar itu, tetapi juga kepada kejiranan di kampung halaman mereka yang menjadi destinasi mereka pulang.

“KKM melihat bahawa sudah berlaku sedikit penurunan jumlah Covid-19 (kes) positif.

“Jadi KKM tidak mahu perkara-perkara seperti ini boleh menjejaskan usaha mereka dan akhirnya mungkin jumlah (kes positif) akan kembali tinggi,” katanya.




Sementara itu, Ismail turut berkata bahawa kerajaan usaha sedang dilakukan oleh Kementerian Luar Negeri untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara.

Baru-baru ini, katanya, rakyat Malaysia dari Algeria dan Tunisia telah dibawa pulang oleh majikan mereka manakala rakyat Malaysia di Arab Saudi pula dibawa pulang oleh kerajaan Saudi.

Katanya lagi, usaha sedang dijalankan untuk membawa rakyat Malaysia dari India, Sri Lanka dan Turki.

“Kepada keluarga mereka yang berada di Malaysia yang minta supaya kerajaan mengambil tindakan membawa pulang rakyat kita yang terkandas, proses sedang dilakukan untuk kita bawa pulang mereka,” katanya.

Sementara bagi pelajar yang kini berada di luar negara pula, Ismail menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan yang meminta mereka untuk tinggal dahulu di negara pengajian masing-masing buat masa ini. -MKini