Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anwar sedia galas jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 8 tahun lagi



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau kecewa jika tidak diangkat menjadi Perdana Menteri selepas empat dekad bergiat aktif dalam politik negara.

Namun, Presiden PKR itu yang berusia 72 tahun menegaskan dirinya tidak bersedia untuk memikul amanah sebagai Perdana Menteri jika ditakdirkan dipanjangkan umur sehingga mencecah 90-an.

“Tidak masuk akal. Tidak mungkin saya hendak menunggu sehingga berumur 90 tahun baru hendak berfungsi secara efektif menjadi ketua negara.



“Saya tidak fikir perlu menunggu sehingga 20 tahun lagi. Tidak terbayang dalam pemikiran saya,” katanya ketika diwawancara radio The Bussines Station (BFM), hari ini.

Anwar sebelum ini menunggu hampir dua tahun untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janjinya menamakan beliau sebagai pengganti selepas PH membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri mengumumkan peralihan kuasa kepada Anwar hanya berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada akhir tahun ini.



Bagaimanapun, pertikaian mengenai tempoh peralihan kuasa itu akhirnya menyebabkan PH berpecah, hingga mengakibatkan pentadbirannya sebagai Kerajaan Pusat berakhir pada 24 Februari lalu.

Anwar bagaimanapun berkata, beliau akan terus ‘bergerak ke depan’ jika ditakdirkan hasratnya itu tidak tercapai.

“Jika diberi peluang, saya fikir negara ini perlukan pembaharuan dan saya boleh mainkan peranan kecil dalam proses ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sedia menggalas jawatan Perdana Menteri dalam tempoh lapan tahun lagi, namun ia bergantung adakah PH mampu menjadi kerajaan semula pada PRU akan datang dan juga faktor kesihatannya.



Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menjelaskan, beliau berhasrat menjadi profesor di universiti, menulis buku dan meluangkan masa bersama cucu atau berkebun dengan menanam pisang, nanas, durian dan rambutan.

Anwar turut mengakui, beliau kecewa dengan tindak tanduk bekas timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam parti dan menyifatkan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai pengkhianat.

Disoal adakah beliau sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir pada masa depan dalam kerangka perjuangan PH, Anwar berkata ia hanya menyentuh isu penting atau strategi bersama dalam pakatan pembangkang. – Bharian

BACA: Kewangan rakyat makin terhimpit sejak April, Najib cadang pakej stimulus tambahan