Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Armada seru Bersatu kembali kepada PH dan DAP


Dipetik dari laman web Armada Bersatu:

1. Assalammualaikum W.B.T saya ucapkan kepada semua Yang Berhormat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Semoga sentiasa berada di dalam keadaan jiwa yang tenang dan lena tidur malamya.

2. Tujuan saya menulis warkah terbuka ini adalah semata-mata ingin menyampaikan isi hati saya sebagai salah seorang dari ribuan ahli BERSATU yang percaya bahawa BERSATU ini merupakan sebuah parti yang masih relevan dengan asas penubuhan untuk perjuangannya.

3. Tidak perlu saya ceritakan mengapa BERSATU ini ditubuhkan kerana saya percaya Yang Berhormat sekalian juga maklum akan sejarah ini.


4. Lebih-lebih lagi Yang Berhormat semuanya merupakan wakil kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada Yang Berhormat untuk duduk di dalam Dewan Rakyat yang mulia dan membahaskan segala dasar bagi membentuk undang-undang di negara yang tercinta ini.

5. Cuma apabila saya melihat perkembangan semasa yang berlaku dalam BERSATU bermula tiga bulan yang lalu, asas perjalanan parti ini sudah tidak begerak mengikut landasan yang telah ditetapkan. Tergelincir.

6. Terdapat dua perkara yang ingin saya sentuh. Pertama ialah mengenai kewajaran keputusan yang dibuat untuk BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan kedua ialah tentang kaedah persetujuan dalam membuat keputusan ini.


7. Secara peribadi, saya kecewa apabila BERSATU mengambil keputusan untuk meleraikan ikatan ukhwah yang dibina bersama rakan-rakan di dalam PH. Saya melihat keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) secara tergesa-gesa ini mengundang seribu satu persoalan dan berbaur muslihat.

8. Akar umbi dipaksa untuk menelan bulat-bulat keputusan ini tanpa sebarang penjelasan yang kukuh dan berasas. Jika ada, yang dizikirkan untuk menghalalkan kecurangan ini ialah BERSATU tidak akan dapat undi daripada kaum Melayu pada PRU-15 sekiranya terus bersama dalam Pakatan Harapan.

9. Saya mendengar dengan teliti alasan ini. Saya cuba melihat kerasionalannya. Secara peribadi saya pelik, jelik dan mual. Saya fikir ianya tidak konkrit.


10. Ianya seolah-olah memperlihatkan yang BERSATU ini sudah habis daya usaha untu meraih sokongan kaum Melayu. Walhal, kita masih berbaki sekurang-kurangnya 3 tahun lagi sebagai kerajaan untuk berkerja keras meraih sokongan kaum Melayu, disamping membangunkan negara mengikut aspirasi yang kita impikan.

11. Haprak sangatkah Melayu BERSATU ini hingga kita melihat diri kita sendiri ini lemah longlai tak bermaya dalam gabungan PH ini?

12. Maka, cara yang paling bermaruah ialah dengan kita lari tinggalkan rakan-rakan dalam gabungan PH?


13. Kemudiannya bergabung bersama-sama pemimpin parti politik yang kita sedia maklum sangat korup? Dan berasa bangga apabila dilihat sebagai Melayu yang kuat bersama-sama pemimpin korup ini? Serta berbangga memenangi pilihanraya kecil (PRK) dengan pemimpin korup ini? Begitu?

14. Ahli parti dipaksa untuk menerima keputusan ini. Sebagai ahli parti, kita diasak untuk patuh dan jangan ingkar. Tapi adakah ini keputusan yang betul?

15. Keduanya, untuk melakukan keputusan yang sebesar ini, parti perlu mengambil maklum pandangan dari ahli-ahli yang lain kerana keputusan ini merupakan satu keputusan besar dan memberi impak yang bukan kecil. Setidak-tidaknya, kepimpinan di setiap Bahagian harus dilibatkan dalam memberikan hujah dan pendapat. Masing-masing mempunyai pengalaman dalam menguruskan perjalanan parti diperingkat Bahagian masing-masing.


16. Perbincangan-perbincangan kecil secara tertumpu wajib dijalankan dan kemudiannya dibawa ke ‘Extraordinary General Meeting’ (EGM).

17. Jika kecurangan ini dipanggil sebagai seni politik, maka saya fikir sampai bila-bila pun rakyat akan melihat politik ini satu aktiviti yang kotor. Yakni segala tindakan yang dibuat itu adalah semata-mata untuk pertahankan kuasa, samada untuk individu atau brrkumpulan.

18. Saya fikir Yang Berhormat semua wajib diingatkan. Pengundi telah memberikan undi kepada Yang Berhormat semua sebagai ahli dalam gabungan PH. Pengundi mahu melihat ada perubahan yang dibawa oleh PH ini. Maka oleh itu, Yang Berhormat semua telah dipilih untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen PH yang sah untuk 5 tahun. Janganlah permainkan amanah ini.


19. Saya pasti hanya sebahagian sahaja dari kalangan Yang Berhormat ini, yang ada bersama-sama sewaktu kejadian BERSATU di isyhtihar bubar satu ketika dulu. Betapa marahnya kita semua apabila pada 5 April 2018, BERSATU telah dibubarkan oleh Registrar of Society (ROS) ketika regim pemerintahan yang lalu. Pengumuman pembubaran itu dibuat, sehari sebelum parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.

20. Bertempiklah kita meluahkan amarah ketika itu. Masing-masing berdoa kepada Allah yang maha Esa semoga kita yang dizalimi ini diberikan kekuatan dan jalan untuk menghadapi kezaliman ini.

21. Dan ketika itu juga, saya menyaksikan sendiri satu momen yang sangat bersejarah dan semangat setiakawan yang benar-benar diperlihatkan. Buat pertama kalinya dalam sejarah, gabungan pembangkang yang terbesar bersetuju untuk menggunakan satu logo mewakili empat komponen parti di PRU-14. Sepakat.


22. Sejarah dicipta. 35 hari selepas itu, Pakatan Harapan telah berjaya memenangi PRU-14.

23. Perjalanan 22 bulan yang dilalui selepas PH berjaya memenangi PRU-14 ini sebenarnya wajib diteruskan. Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan dipelajari. Bukan dengan berhenti sekerat jalan. Kita habiskan tempoh 5 tahun tersebut dengan dedikasi dan kemudian kita serahkan senula kepada rakyat untuk menilai. Demokrasi.

24. Oleh itu, apakah yang saya mohon kepada Ahli Yang Berhormat sekalian? Pulanglah. Kembalilah. Tepuk dada, tanyalah selera.

25. Salam Ramadhan.

Tulisan oleh: Muhamad Bazli Abd Aziz
BERSATU – 002977