Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Banduan PKP: Ibu tunggal mahu tuntut keadilan, tak puas hati ditertawakan rakan sepenjara


Apabila ibu tunggal B Lisa Christina pertama kali dihukum penjara 30 hari kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), dia sudah bersedia dari segi mental untuk menjalani hukuman penuh kerana percaya undang-undang adalah sama untuk semua orang.

Bagaimanapun, apabila dia mula berbual dengan 37 banduan lain di Penjara Kajang, Lisa sedar ada sesuatu yang tidak kena.

"Dalam sel ada 38 orang, termasuk saya dan yang lain semua warga asing, wanita Indonesia. Saya satu-satunya rakyat Malaysia di sana.


"Mereka dijatuhi hukuman kerana (melanggar) PKP dan juga kerana tidak ada permit, tetapi hukuman penjara mereka lebih rendah berbanding saya (dikenakan hukuman) 14 hari. Saya telah dibuli (oleh mereka dalam penjara).

"Hukuman terhadap saya paling tinggi dalam sel, itu sebabnya mereka tanya, kenapa Wanita Malaysia dipenjara 30 hari hanya kerana (melanggar) PKP?

"Orang ketawakan saya (dalam penjara), mereka kata saya seorang pembohong," kata Lisa dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran hari ini.


Menurut Lisa, dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan kepada mereka kerana dia juga tidak tahu apa yang berlaku.

"Saya beritahu mereka mungkin ada sesuatu yang tak betul tapi mereka tidak percaya saya. Ia merupakan satu pengalaman buruk di sana," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai pengalaman di penjara, Lisa berkata jika dia berbuat demikian, dia mungkin menangis kerana ia sangat traumatik.


Lisa dipenjarakan selama lapan hari sebelum Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan dan menggantikan hukuman penjara dengan denda RM1,000 pada 29 April.

Selepas dia dibebaskan dari penjara, Lisa menjadi lebih marah dan tidak berpuas hati apabila mendapat tahu anak perempuan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan pasangannya hanya didenda RM800 bagi kesalahan yang sama.

Lisa sebelum ini menulis hantaran di Facebook mengenai rasa tidak puas hati terhadap hukuman denda terhadap Nurulhidayah Ahmad Zahid dan Saiful Nizam Mohd Yusoff yang disifatkan double standard.


Lisa berkata dia tidak bemaksud apa-apa selain menyatakan kemarahannya  dan mengatakan tidak mengenali siapa Ahmad Zahid sebelum itu.

"Saya marah pada masa itu, tak puas hati. Anak perempuan seorang Datuk hanya didenda RM800 bagi kesalahan yang sama seperti saya. Saya begitu marah.

"Oleh kerana saya fikir ini adalah undang-undang, ia sepatutnya berlaku adil kerana undang-undang untuk semua orang.


"Saya hanya kata apa yang saya rasa (dalam hantaran Facebook). Ia adalah dari hati saya. Saya hanya harap demi satu perkara, untuk keadilan saya. Saya ingin tahu apa yang salah," katanya.

Lisa, yang bekerja dalam bidang pemasaran dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun, juga menceritakan apa yang berlaku pada hari dia ditangkap pada 12 April.

Pada 21 April lepas, Lisa dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama tiga individu lain berhimpun dalam kawasan tempat berjangkit (Zon Merah) yang telah diwartakan di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.




Eksekutif pemasaran itu didakwa melakukan kesalahan di kawasan tangga, taman permainan, Jalan SM1, Taman Subang Mas, Subang Jaya, kira-kira 4.45 petang pada 12 April lepas dan dihukum mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar pula berhujah, hukuman penjara terhadap Lisa adalah berpatutan dengan mengambil kira keseriusan kesalahannya dan kepentingan awam.

Beliau berkata, majistret telah mengambil kira semua faktor mitigasi dalam memutuskan hukuman terhadap wanita itu dan mengenai dakwaan hukuman tidak konsisten, hujahnya, adalah tidak wajar untuk membandingkan hukuman ke atas Lisa Christina dengan kes-kes lain, yang mempunyai fakta berbeza.

Dalam hujahan bertulisnya, Wan Shahida menyatakan bahawa tiga lelaki Indonesia yang ditahan bersama-sama Lisa Christina turut didakwa di mahkamah sama dan juga dijatuhi hukuman penjara 30 hari.

-Tun Carlos