COVID-19: Rakyat Amerika didakwa dibayar untuk buat video puji Malaysia, ini jawapan beliau
Seorang doktor gigi Amerika yang memuji langkah kerajaan Malaysia menangani wabak Covid-19 dalam rakaman video yang kemudian menjadi tular, menafikan dakwaan dia dibayar untuk menghasilkan rakaman tersebut.
Video Dr Dustin Pfundheller yang mula diterbitkan 9 Mei lalu, memuji langkah diambil Malaysia dalam menangani wabak itu dan telah dikongsi sekurang-kurangnya 56,000 kali di Facebook dan banyak lagi di platform media sosial yang lain.
Video itu turut dikongsi pada halaman media sosial agensi-agensi kerajaan Malaysia dan beberapa menteri kabinet.
Bagaimanapun, Pfundheller, yang mula membuat video dalam talian semasa dalam perjalanan ke seluruh dunia, berkata dia "tidak pernah ditaja".
"Walaupun terdapat banyak sosial media influencer yang mendapat bayaran khususnya untuk membuat sesuatu cerita, adalah salah untuk mengandaikan semua orang yang membuat video dibayar," katanya ketika dihubungi.
Menurut Pfundheller, polisi untuk mengelak daripada membuat kandungan berbayar dinyatakan dengan jelas pada catatan Instagram beliau.
Tambahnya, sebelum mengeluarkan video di Malaysia, dia hanya mempunyai 53,000 pengikut - dan jumlah ini lebih kecil berbanding sosial media influencer yang memiliki jutaan pengikut.
Oleh itu, katanya adalah tidak masuk akal bagi kerajaan Malaysia membayar seseorang yang memiliki sejumlah pengikut yang kecil.
"Kenapa nak bayar seseorang yang mempunyai pengikut yang sedikit ?" soalnya sambil memaklumkan beliau adalah penerbit kandungan sepenuh masa dan bekerja sepenuh masa sebagai doktor gigi.
'Rakyat Malaysia baik kepada saya'
Pfundheller berkata, dia mula menyelidik mengenai langkah kerajaan Malaysia menangani Covid-19 selepas rakyat Malaysia menggalakkan beliau berbuat demikian menerusi ruangan komen di video lain yang dihasilkannya.
Malaysia adalah salah satu daripada 15 negara yang dipaparkan dalam video berasingan mengenai bagaimana negara-negara yang berbeza ini berjuang melawan Covid-19.
Katanya, dia gembira untuk memaparkan mengenai negara ini kerana telah tinggal di Singapura selama enam tahun bersama rakan-rakan dari Malaysia.
"Pembantu pergigian saya adalah orang Malaysia. Saya juga begitu banyak sahabat dari Malaysia dan rakyat Malaysia sentiasa begitu baik kepada saya. Adalah baik untuk menghasilkan video yang mana mereka dapat melihat mengenai Malaysia, "katanya.
Pada Februari lalu, Malaysia menerima pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana kesiapsiagaannya dalam menghadapi Covid-19. -MKini