Exco Armada dedah mereka akan dilabel "kurang hajar" jika tidak setuju bersama Tun M sertai PH
Sekurang-kurangnya empat sayap Pemuda Bersatu (Armada) peringkat negeri dan dua anggota exco Armada telah 'memberontak' terhadap percubaan untuk mengarahkan sokongan Armada kepada Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi parti yang terlibat dalam perebutan kuasa dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Armada Terengganu, Sabah, Selangor dan Perak telah mengeluarkan kenyataan membantah selepas Armada pusat semalam menyatakan Pemuda Bersatu menolak kerjasama parti itu dengan Umno, di dalam kerajaan PN, dan meminta Bersatu untuk kembali bersama Pakatan Harapan.
Keputusan itu dibuat setelah pertemuan kepimpinan Armada dengan Mahathir Mohamad, yang dikatakan mendapat sokongan dua pertiga sementara selebihnya mengundurkan diri, manakala tidak ada yang menentang.
Bagaimanapun, Anggota Exco Armada, Mahathir Mohd Rais, yang tidak hadir dalam pertemuan itu, mengatakan para pemimpin tidak membantah kerana menghormati pengerusi Bersatu itu.
Menyebut pertemuan semalam sebagai 'pelik', dia berkata pertemuan dengan Tun Mahathir itu nampak seakan 'terdesak' dan "tidak bertanggungjawab".
"Pandangan saya. Tujuan mengadakan mesyuarat Armada bersama pengerusi dilihat sebagai satu langkah yang terdesak dan tidak bertanggungjawab.
"Gunakanlah akal dan fikiran. Sudah tentu ketetapan yang dibuat didalam mesyuarat itu berlandaskan atas rasa hormat terhadap Tun (Dr Mahathir).
"Ada sahabat yang hadir dalam mesyuarat berkata. Jika mereka bersuara di dalam mesyuarat itu mungkin mereka akan dilabel sebagai biadap atau kurang ajar," jelas Mahathir Mohd Rais pada suatu kenyataan hari ini.
Semalam Armada membuat keputusan menolak kerjasama dengan Umno, sebaliknya kembali bekerjasama dengan PH.
Armada berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
"Ahli-ahli mesyuarat telah berbincang dan pada akhirnya bersetuju untuk menetapkan pendirian rasmi sayap Armada, iaitu menyokong penuh pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
"(Serta) mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang telah diberi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan," kata Armada dalam satu kenyataan.
BACA: Mukhriz hilang sokongan majoriti, perubahan kerajaan negeri Kedah tidak dapat dielak