Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Jangan terkejut kalau ada pegawai penguatkuasa ditangkap dalam masa terdekat" -Ayob Khan



JOHOR BAHRU: Polis mengenal pasti 20 sindiket penyeludupan manusia dengan sekurang-kurangnya 10 dalang termasuk yang berkedudukan di negeri ini, membabitkan warga tempatan dan Indonesia.

Selain itu, polis juga mengenal pasti pegawai agensi penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata semua sindiket dan dalang berkenaan dikesan sejak Operasi Pintas Bersepadu Selatan oleh Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimulakan minggu lalu.


"Dalang yang dikenal pasti kurang daripada 10 orang, ada kedudukan dan bersekongkol. Bukan terdiri daripada masyarakat awam sahaja tetapi juga di kalangan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.

"Jangan terkejut kalau ada tangkapan dibuat dalam masa terdekat, kita tidak akan bertolak ansur terhadap pengkhianatan kepada negara," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada usaha menangkap tekong yang memainkan peranan dalam menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan migran ini.


"Sebelum ini kebanyakan tangkapan membabitkan migran, tetapi kini kita memberi tumpuan kepada memburu tekong laut dan darat.

"Kita yakin langkah ini akan dapat menyekat kemasukan migran ke negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan kerajaan nanti, kita jangka lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) akan cuba memasuki Malaysia," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai khususnya pemilik kediaman, pemilik tanah dan pemandu teksi untuk tidak bersekongkol dengan menyediakan penginapan dan pengangkutan kepada sindiket terbabit.


Sementara itu, Ayob Khan berkata, seramai 20 tekong dan 24 migran ditahan menerusi sembilan serbuan yang dijalankan antara 22 April hingga Isnin lalu.

"Tekong yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta sembilan lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

"Migran yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia berusia antara 19 hingga 31 tahun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. -BHonline