Lima Ahli Parlimen Bersatu yang duduk di kerusi pembangkang bakal dilucutkan keahlian
Anggota Parlimen Bersatu yang duduk di kerusi pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari Isnin lalu perlu dilucutkan keahlian serta-merta, menurut ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful dalam satu kenyataan mengatakan bahawa ia tertakluk dalam perlembagaan parti dan semua anggota harus menghormati disiplin parti.
“Dalam perlembagaan Bersatu, menyertai kelompok (kerusi) pembangkang adalah satu perkara yang menyebabkan keahlian seseorang gugur dengan sendirinya.
“Bukan tindakan disiplin, tetapi gugur dengan sendiri (keahlian),” kata bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu.
“Sesuai dengan semangat "rule of law" yang kita pegang, parti perlu segera menyemak status keahlian semua mereka tanpa "fear or favour,” tegasnya.
Pada persidangan Dewan Rakyat yang pertama tahun ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang statusnya sebagai Pengerusi Bersatu kini dipertikaikan MPT, duduk di kerusi pembangkang bersama empat ahli parti itu - yang sehaluan dengannya.
Empat Ahli Parlimen (MP) yang bersama Mahathir di barisan pembangkang adalah, Mukhriz Mahathir (MP Jerlun), Syed Saddiq (MP Muar), Maszlee Malik (MP Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (MP Kubang Pasu).
Bersatu kini terbahagi kepada dua kem, dengan majoriti Anggota Parlimen dan MPT dilihat bersama perdana menteri dan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin.
Wan Saiful |
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata bahawa, Bersatu tidak boleh bertolak ansur dengan kewujudan "kasta elit" yang akhirnya menolak disiplin parti kerana ia boleh menjadi barah yang merosakkan parti.
“Sepatutnya janganlah sombong merasakan lebih tinggi dari yang lain sehingga duduk dengan blok parti (kerajaan) sendiri pun tidak sudi.
“Parti akan rosak jika pemimpin hanya mementingkan pandangan sendiri sahaja, tanpa mempedulikan kesan tindakan mereka ke atas persepsi rakyat terhadap parti,” katanya lagi.
Dua hari selepas persidangan tersebut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan status Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi parti berdasarkan dokumen yang mununjukkan bahawa Dr Mahathir telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Muhyiddin pada 24 Februari.
Dr Mahathir kemudian mempertikaikan kenyataan tersebut dalam surat yang diwakili peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Sebelum ini, Mahathir mengundurkan diri sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada 24 Februari, setelah parti itu menentangnya dan membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).
Tidak lama selepas meletakkan jawatan, Bersatu meyakinkan Mahathir untuk terus memegang jawatan pengerusi parti dan mengumumkan beliau akan kekal memegang jawatan itu.
Bagaimanapun, Muhyiddin kemudian melantik dirinya sebagai pemangku ketua parti. -MKini