Mahathir masuk Umno? Minta maaf, kirim salam, kata Zahid
KUALA LUMPUR – “Minta maaf. Kirim Salam.” Demikian maklum balas ringkas yang diberikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya sekiranya bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir mahu menyertai Umno semula.
Zahid berkata menjawab soalan tersebut dalam satu Group Whatsapp, selepas ditanya oleh ahli dalam Group tersebut.
Sumber rapat Zahid yang mengaku turut berada dalam Group Whatsapp tersebut mengesahkan perkara itu.
SuaraTV cuba menghubungi Zahid untuk mendapatkan maklum balas lanjut berkenaan pemecatan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada parti yang diasaskannya, namun masih belum berjawab.
Khamis lepas (28 Mei 2020), Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama tiga lagi individu penting dalam BERSATU telah dipecat keahlian serta-merta.
Turut dipecat, bekas Ketua ARMADA parti itu, Syed Saddiq Abdul Rahman, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.
Difahamkan, mereka dipecat atas alasan duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Surat berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.
– SuaraTV