Moratorium: Najib gesa bank kecualikan faedah sewa beli rumah kepada B40
ULASAN: Tidak adil bahawa hanya faedah untuk sewa beli dikecualikan sedangkan faedah untuk pinjaman rumah, pinjaman peribadi dan lain-lain pinjaman tetap dikira.
Kenapa keluarga B40 yang naik motor membeli rumah PPR dengan bank loan RM100k perlu bayar faedah untuk tempoh moratorium tetapi Tauke T40 yang beli kereta RM600k degan cara sewa beli dikecualikan faedah untuk tempoh 6 bulan?
Mana keadilannya?
Syarikat beli mesin, Tauke T20 beli kereta mewah tak kena faedah tapi beli rumah dikira faedah pulak?
Dari dulu, saya dah kata bahawa kerajaan perlu tambah bantuan kepada Rakyat tetapi bukan dengan cara mengecualikan faedah hanya untuk pinjaman sewa beli sahaja.
Kerana cara ini adalah tidak adil memandangkan bukan semua individu dan atau syarikat ada pinjaman sewa beli.
Jika nak bantu dalam masa Covid ini, perlulah adil juga supaya bantuan tertumpu kepada mereka yang paling memerlukan bantuan.
Walaupun kita maklum bahawa bank-bank terbesar dimiliki oleh tabung-tabung rakyat seperti PNB, KWSP, KWAP, Khazanah dan kita faham bank-bank masih perlu membayar faedah kepada pendeposit, saya percaya punca kemarahan ramai ialah bank-bank dilihat seolah-olah tidak menerima apa-apa impak dan tidak terbeban pada masa ramai yang hilang mata pendapatan atau gaji mereka dipotong.
Untuk meredakan situasi kemarahan ini, bank-bank boleh menunjukkan solidariti bersama Rakyat:
1. Gaji dan bonus pengurusan atasan bank perlu dipotong pada tempoh Covid ini supaya beban dipikul bersama.
2. Walaupun ianya susah untuk bank mengecualikan faedah sepenuhnya untuk semua jenis pinjaman selain sewa beli, bank-bank boleh mengurangkan "net interest margin" atau margin keuntungan faedah mereka bagi memberi diskaun kepada faedah yang dikenakan untuk SEMUA bentuk pinjaman termasuk pinjaman peribadi serta pinjaman rumah dan bukan hanya terhad kepada pinjaman sewa beli.
(Net interest margin ialah beza antara faedah yang diterima dari peminjam berbanding faedah yang dibayar kepada pendeposit)
Disamping itu, proses tambahan untuk memerlukan perjanjian baru atau surat setuju dari peminjam akibat keperluan mematuhi undang-undang akta sewa beli menambah kepada kekeliruan peminjam dan ini ialah birokrasi tambahan yang patut dielakkan pada masa kini.
Oleh kerana keperluan ini adalah keperluan di bawah undang-undang maka ianya juga di bawah kawalan kerajaan.
Undang-undang boleh dipindah dan diubahsuai oleh kerajaan pada masa Covid ini.
Krisis Covid ini masa luar biasa
Kerajaan perlu mencari jalan luar biasa untuk mengurangkan birokrasi dan memudahkan proses untuk Rakyat.
sumber: FB Najib Razak
(Najib: Gambar sekadar hiasan sahaja) |