Muhyiddin adalah pemimpin yang diperlukan rakyat Malaysia -Syed Saddiq
Labels:
Syed Abdullah Syed Abdul Rahman,
Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Ucapan Hari Lahir Tan Sri Muhyiddin
Meskipun kini dilihat berbeza pendapat mengenai hala tuju Bersatu, Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi ucapan selamat hari lahir kepada perdana menteri yang juga presiden partinya, Muhyiddin Yassin.
Dalam mesej sempena ulang tahun ke-73 Muhyiddin yang dikongsi di Facebook semalam, Syed Saddiq mengimbas nasihat Muhyiddin kepadanya untuk tetap jujur pada diri sendiri.
"Saya ingat hari ketika saya hampir meninggalkan politik untuk memberi tumpuan kepada tawaran yang lebih baik di Johor, dan seterusnya, perjalanan yang ditaja sepenuhnya ke Oxford untuk Sarjana dalam Dasar Awam saya.
"Anda (Muhyiddin) memanggil saya dan menasihati saya untuk tetap jujur pada diri saya sendiri dan kita akan bersama (dalam perjuangan parti ini), dari awal hingga akhir.
"Kata-kata anda memberi jaminan seperti seorang ayah dan hanya itu yang saya perlukan," katanya.
Mesej itu hadir selepas Muhyiddin telah menarik Bersatu keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menubuhkan kerajaan baru dengan Umno dan PAS.
Susulan itu, Syed Saddiq menyokong pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk Bersatu menghentikan kerjasama dengan Umno dan kembali kepada PH.
Bagaimanapun, Syed Saddiq mengatakan dia tidak menyesal memilih meneruskan kerjaya dalam politik dan menyokong Muhyiddin sebelum ini.
"Adakah saya menyesal? Sama sekali tidak.
"Saya tahu bahawa anda adalah pemimpin yang diperlukan oleh Malaysia dan merupakan suatu penghormatan untuk menyokong anda dengan apa saya termampu.
"Walaupun kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza hari ini, rasa hormat saya terhadap anda tidak akan pernah padam," katanya. -MalaysiaKini
BACA: Najib tahu Mahathir hanya mahu buat kecoh, tak berani senaraikan jumlah SD