Pegawai Khas Khalid Samad sahkan beliau masuk Lokap Jinjang
Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof hari ini mengesahkan telah ditahan lokap atas dakwaan rasuah.
Selepas tamat tempoh tahanan, beliau membuat laporan polis terhadap dua individu yang didakwanya menyamar sebagai dirinya untuk memalsukan dokumen kerajaan bagi meluluskan sebuah projek di Kuala Lumpur.
Seperti yang dijangka, Azli juga menafikan bahawa beliau menerima habuan hasil dari penyediaan dokumen berkenaan.
Beliau yang ketika ini berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, dakwaan tersebut menyebabkan beliau ditahan reman dan mencemarkan imejnya.
“Aduan ini saya lakukan kerana penyamaran dan dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Dakwaan ini telah menyebabkan saya ditahan reman sehari dan dimasukkan ke dalam Lokap Jinjang.
“Berita penahanan ini juga tersebar luas dalam media arus perdana dan media sosial sehingga mencemarkan nama saya.
“la juga menjejaskan reputasi saya sebagai Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Shah Alam,” katanya selepas membuat laporan polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Aduan telah dibuat sebuah syarikat arkitek selepas mendapati mereka ditipu apabila menyedari dokumen kebenaran merancang (DO) yang diberikan kepada mereka adalah palsu.
“Broker mendakwa bahawa saya terlibat memberikan dokumen tersebut. Saya telah menafikan dakwaan itu kerana saya sangat memahami bahawa DO hanya boleh dikeluarkan oleh Pihak DBKL terus kepada pihak arkitek atau konsultan.
“Tidak pernah DO rasmi diberikan kepada mana-mana pegawai menteri untuk diserahkan kepada pihak pemohon,” kata Azli.
Pada 16 Mei, Azli ditahan polis dan susulan penahanan itu Khalid Samad mempertahankan pegawainya itu dengan mendakwa bahawa broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Azli yang kononnya telah mendapatkan ganjaran bagi pihaknya.
Broker tersebut juga didakwanya telah menerima bayaran jutaan ringgit hasil penipuan menjual nama Azli.
-Tun Carlos