Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pembelian pil gugur janin secara online ketika PKP sangat membimbangkan


Ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menumpukan perhatian memerangi wabak Covid-19, terdapat penjual ubat menggugurkan kandungan mengambil kesempatan menjualnya di alam maya.

Ia berlaku walaupun pembeliannya harus mendapatkan preskripsi doktor.

Pegawai Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dziehan Mustapa menegaskan ubat yang mengandungi misoprostol ialah ubat terkawal berdasarkan Akta Racun 1952.

“Ia hanya boleh boleh dibekalkan kepada pesakit dengan preskripsi doktor.



“Cara penggunaanya juga memerlukan pemantauan yang teliti oleh doktor perubatan yang berdaftar dan bertauliah bagi mengelakkan sebarang masalah,” katanya.

Dziehan berkata mereka yang membekalkan pil gugur janin disyaki diperoleh secara haram melalui pembelian secara atas talian atau penyeludupan daripada negara luar.

Ia juga mungkin tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.

Antara ubat gugur janin yang terjual di online



“Pemegang pendaftaran produk tersebut telah membatalkannya pada November 2016 dan menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan PBKD serta tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.  

Dziehan turut berkata jika diambil tanpa pengawasan doktor, pendarahan tanpa henti boleh meragut nyawa ibu.

“Sekiranya pengambilan pil gugur tanpa pemantauan pengamal perubatan bertauliah boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak (uterine rupture), pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat,” jelasnya ketika dihubungi.

Dziehan turut berkata pihak KKM sentiasa bekerjasama dengan pengendali platform e-dagang untuk menyekat penjualan ubat terkawal melalui sekatan terhadap beberapa kata kunci yang berkaitan dengan ubat pil gugur janin ini.

“Ia termasuk juga semua jenis ubat terkawal yang sememangnya tidak boleh dijual secara atas talian,” katanya.



Boleh didakwa di mahkamah

Sementara itu seorang pegawai perubatan sarjana di Jabatan Perubatan Rawatan Utama sebuah universiti Dr Amirul Amzar berkata preskripsi doktor diperlukan kerana mereka tahu keadaan kesihatan pesakit.

“Untuk preskripsi, seorang doktor perlu memeriksa pesakit dan memberi ubat sesuai dengan indikasi,” kata anggota Medical Mythbusters Malaysia (M3) itu.

M3 ialah laman interaksi umum berkaitan perubatan yang digerakkan oleh sekumpulan doktor dan ahli farmasi.

Dr Amirul berkata individu yang menggugurkan kandungan tanpa sebab perubatan dan pemantauan doktor boleh didakwa d mahkamah.



“Secara umumnya pengguguran kandungan di Malaysia adalah menyalahi undang-undang,” katanya.

Menurut Dr Amirul, proses pengguguran tanpa nasihat dan pemantauan doktor merisikokan nyawa ibu dan jika keguguran tidak berlaku, nyawa bayi masih boleh terancam serta mengakibatkan kematian dalam rahim.

“Apa yang merisaukan jika ubat ini diambil tanpa pemantauan dan pemeriksaan doktor, ia berisiko membuatkan rahim individu yang mengambil ini pecah.

“Ubat ini akan menyebabkan kontraksi pada dinding rahim dan ada risiko pengecutan itu boleh menyebabkan rahim pecah dan menyebabkan pendarahan yang amat banyak sehingga boleh membunuh,” jelasnya. -Mkini