Perdana Menteri Israel dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini menjadi pemimpin pertama negara itu yang menghadapi tuduhan rasuah ketika masih memegang jawatan.
Beliau yang menafikan siri tuduhan rasuah itu, dijangka memulakan usaha membersihkan namanya di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis, selepas baru saja menubuhkan kerajaan berikutan kebuntuan lebih 500 hari selepas pilihan raya.
Perbicaraan mahkamah membabitkan pemimpin berusia 70 tahun itu bermula hari ini, selepas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah difailkan terhadapnya Januari lalu.
Antara lain, tuduhan terhadapnya termasuk memberi insentif secara haram sebagai balasan untuk mendapat liputan media positif dalam Yediot Aharonot, akhbar tersohor Israel.
Dia juga dituduh menerima habuan seperti cerut, minuman keras 'champagne' dan barangan kemas bernilai 700,000 shekels (RM856,510) sebagai sogokan daripada golongan kaya untuk melakukan perkara tertentu.
Antara tuduhan paling serius ialah dakwaan Netanyahu menawarkan pemilik media, Shaul Elovitch, untuk melakukan perubahan peraturan bernilai jutaan dolar yang menguntungkan syarikat telco miliknya, Bezeq, sebagai balasan bagi liputan positif dalam laman sesawang media Walla!
Selepas proses soal siasat berbulan lamanya oleh pihak polis, Pendakwa Raya, Avichai Mandelblit, memfailkan tuduhan Januari lalu.
Walaupun ramai meramalkan kes itu akan menamatkan kerjaya politik Netanyahu, dia masih dapat kekal menerajui parti Likud yang kini berjaya memeterai perjanjian perkongsian kuasa dengan seteru politik utamanya, Benny Gantz.
Berdasarkan persefahaman yang dicapai selepas tiga pilihan raya gagal menentukan pemenang, Netanyahu akan terus mentadbir Israel untuk tempoh 18 bulan sebelum menyerahkan pucuk pimpinan kepada Gantz. - AFP
Rakyat Israel yang menentang Netanyahu berkumpul di luar mahkamah |