Pilihanraya lambat lagi, tak perlu tergesa-gesa daftar PN -Annuar Musa
BN menyifatkan kerjasama antara parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) sudah cukup harmoni dan tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaftarkan perikatan itu secara rasmi.
Sebelum ini pemimpin-pemimpin dari Pakatan Harapan PH mendakwa Kerajaan PN adalah tidak sah kerana PN masih belum didaftarkan.
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, berkata cadangan untuk mendaftarkan PN perlu mendapat pandangan anggota parti di setiap peringkat termasuk akar umbi.
"Perundingan dan perhubungan antara parti dalam PN sudah cukup harmoni, sudah tentu suasana harmoni ini perlu dikekalkan.
"Maka tak perlu tergesa-gesa (untuk mendaftarkan PN), setiap parti pastinya ada prosedur tertentu.
"Supaya setiap proses itu (membuat keputusan) tidak berlaku hanya di peringkat pucuk pimpinan saja," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Annuar berkata, sebelum membuat keputusan mengenainya ia perlu dibincangkan di peringkat majlis tertinggi dan di bawa dalam perhimpunan agung parti.
Jelasnya, setiap parti yang bekerjasama dalam PN mempunyai prosedur masing-masing sebelum membuat keputusan.
Pada 6 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan PN secara rasmi.
Sumber terbabit berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat MT yang diadakan pada Isnin lalu, dan ia bertujuan menjaga kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.
Ia kemudiannya disusuli kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan keputusan untuk mendaftarkan PN secara rasmi mengambil kira krisis dalaman Bersatu serta kemampuan parti itu untuk bertahan dalam PN.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dua hari lalu pula mengulangi komitmen BN yang menyokong penuh Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Annuar berkata tiada tempoh masa ditetapkan bagi pendaftaran PN sebagai sebuah entiti parti politik berdaftar.
"Tak ada tempoh masa ditetapkan yang penting terus ada perbincangan antara kita.
"Kita bukannya hendak ada pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat ini.
"Apa juga perkara akan kita lakukan secara tertib," katanya lagi.
-MalaysiaKini