Rakaman Audio: Muhyiddin rancang tarik MP UMNO termasuk Najib sertai Bersatu
Halaman (page) Facebook yang dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad mendedahkan satu lagi rakaman audio yang didakwa dirakam pada mesyuarat majlis tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya mirip dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, didengar mengatakan bahawa ahli parlimen Umno akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, 'why don't you come in now, why don't you join us now rather than you join later?' (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)
"Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin kita akan anggota 10 hingga 20 dengan Najib (Razak) dan puak-puak dia. Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC (pengerusi GLC)," kata suara itu.
Bekas Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini bercakap mengenai bagaimana kepemimpinan tertinggi parti itu, mengusulkan strategi demikian dalam usaha memastikan Bersatu tidak terpinggir dalam Perikatan Nasional (PN).
Suara dalam rakaman itu juga mengatakan bahawa dengan menarik ahli parlimen Umno, ia akan menjadikan Bersatu parti terbesar dalam PN.
Namun, suara itu menyatakan bahawa Mahathir telah memberi amaran terhadap perkara ini.
"Of course (sudah tentu) Tun (Mahathir) bagitahu saya 'no (tidak), mungkin dia (ahli parlimen Umno) akan buat sesuatu'.
"Saya tak fikir dia (ahli parlimen Umno) akan buat sesuatu dan semua orang ikut Najib punya tuntutan dan ugut kita kalau tak bagi ni kita akan keluar ramai-ramai. Mungkin boleh (terjadi) tapi mungkin tak berjaya," katanya.
Suara itu juga mengatakan bahawa mereka yang berminat menyertai Bersatu tidak akan berpaling tadah setelah mereka 'merasa' mempunyai kedudukan.
Sejak berkuasa, kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin telah melantik lebih daripada tiga belas anggota parlimen dari parti komponen gabungan itu sebagai pengerusi GLC, agensi kerajaan dan jawatan diplomatik yang baru dibuat.
Anggota majlis tertinggi Bersatu Akramsyah Sanusi, ketika dihubungi, berkata Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari telah menolak idea untuk "membeli" Ahli Parlimen Umno dengan janji politik.
"Kami tidak pernah menyetujui rancangan untuk membeli kesetiaan ahli parlimen dengan kedudukan GLC kerana ini bertentangan dengan nilai-nilai pemerintahan yang baik yang kami kempen semasa pilihan raya umum ke-14 bersama Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, dalam rakaman pertama yang dibocorkan, seorang lelaki yang mirip suara Muhyiddin didengar memberitahu dewan untuk memberi mandat kepada Mahathir untuk memutuskan sama ada Bersatu akan meninggalkan PH atau tidak.
Rakaman kedua pula merakamkan suara seorang lelaki yang terdengar seperti Mahathir memohon kepada Majlis Tertinggi Bersatu untuk tidak memaksanya mengingkari janjinya untuk mengundurkan diri.
Pada malam 23 Februari, Muhyiddin dan pemimpin Bersatu yang lain telah berkumpul dengan kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali serta pemimpin Umno dan PAS di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, yang disebut sebagai "Langkah Sheraton".
"Langkah Sheraton" itu mencetuskan krisis politik selama seminggu setelah Mahathir mengundurkan diri sebagai perdana menteri dan enggan menyertai gerakan politik itu.
Ia berakhir dengan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri gabungan Perikatan Nasional pada 2 Mac.
Sejak itu Mahathir secara terbuka menuduh Muhyiddin dan pengikutnya tidak mempedulikan keputusannya agar Bersatu kekal dalam PH.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa semasa mesyuarat presiden PH pada 21 Februari, Mahathir ditekan menetapkan tarikh melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bersatu membalas gesaan itu dengan mengancam untuk keluar dari PH.
Namun, pada akhirnya, Mahathir memutuskan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
-Mkini