Rentas Negeri: Jangkitan baru Covid-19 di dua negeri Zon Hijau dikesan
Jangkitan baru dikesan di Kelantan dan Kedah - dua negeri yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon hijau, iaitu kawasan yang bebas Covid-19.
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa satu kes baru di Kelantan melibatkan individu yang merentas negeri dari Ampang, Selangor.
“Kes ini telah balik kampung dari Ampang, zon merah.
“Ketika sampai di rumah, dia datang ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan kesihatan. Dia hamil 35 minggu dan ingin melahirkan di kampung halamannya.
"Dia diuji untuk Covid-19 dan didapati positif. Dia telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika ditanya mengenai kes tersebut.
Pengesanan kontak rapat sedang dilakukan, kata Noor Hisham.
Bagi kes baru di Kedah, Noor Hisham berkata ia melibatkan seorang pelajar.
Pengesanan kontak rapat juga sedang dijalankan.
Selain dua negeri ini, kementerian sedang menyiasat satu kes baru yang dikesan di Terengganu.
Turut disiasat ialah lapan kes baru (setakat tengah hari semalam) yang dikesan di Kuala Selangor dan juga 11 warganegara Myanmar yang positif Covid-19 setelah mereka dihantar pulang dari Malaysia.
Data awal menunjukkan bahawa kes Kuala Selangor berasal dari kelompok Pasar Borong Kuala Lumpur, kata Noor Hisham hari ini.
-MalaysiaKini