TERKINI: Anwar jelaskan, sidang media yang dibuat Mahathir bukan sidang media PH
Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelaskan tentang ketidakhadirannya dalam sidang media khas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin, yang turut disertai pemimpin komponen PH yang lain.
“Jawapannya mudah, ini bukan sidang media Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam siaran langsung di Facebook miliknya.
Jelas Anwar, dalam mesyuarat sebelum itu, pemimpin-pemimpin PH yang terdiri daripada PKR, DAP, dan Amanah, telah pun bersetuju untuk menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasiona (PN), bersama dengan parti Bersatu dan Warisan.
“Oleh yang demikian, kita tak akan mengadakan sidang khas PH (untuk hal itu). Tapi ini tidak menghalang kalau DAP, Bersatu, Amanah atau PKR (mahu) buat sidang media masing-masing, atau ahli-ahli parlimen buat pandangan.
“Jadi saya nak jelaskan, (itu) bukan sidang PH. Tetapi kita demokratik, boleh mengeluarkan (pandangan),” katanya lagi.
Dalam siaran langsung itu, Anwar menjawab beberapa soalan yang telah dipilih terlebih dahulu oleh pengguna Facebook yang ditujukan buatnya.
Jawapan dari mulut Anwar sendiri itu, senada dengan jawapan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution semalam.
Selepas persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu, Dr Mahathir mengadakan sidang media khas di Yayasan Perdana, Putrajaya yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, serta Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.
Anwar tidak hadir dalam sidang media berkenaan dan kerusi untuk wakil PKR di pentas diisi oleh Mukhiz Mahathir.
Malah tiada ahli parlimen dari PKR dilihat menghadiri sidang media yang menyatakan reaksi pembangkang kepada siang parlimen yang berlaku pagi sebelumnya. -Mkini