Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tiada usul undi tidak percaya pada 18 Mei nanti -Speaker


Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung sehari sahaja pada 18 Mei ini, hanyalah semata-mata bagi mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain.

Ia sekaligus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, memberitahu beliau menerima surat pemakluman daripada Muhyiddin selaku ketua Majlis Dewan Rakyat, bahawa kerajaan memutuskan tiada sidang selepas titah Diraja yang dijadualkan berlangsung jam 10 pagi, pada 18 Mei, Isnin ini.


Katanya, beliau dimaklumkan keputusan itu dibuat kerajaan disebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.

Perkara sama turut dizahirkan dalam satu notis pemberitahuan oleh setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat ditujukan buat ahli-ahli Parlimen dan dilihat Malaysiakini, bertarikh hari ini.

Ini berbeza daripada notis lebih awal oleh Riduan sebelum ini, yang menyatakan selain titah diraja, sidang pada 18 Mei ini akan turut membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan sahaja.



Notis awal yang dikeluarkan bulan lalu itu turut mengesahkan sidang Parlimen hanya akan bersidang selama sehari sahaja bagi tujuan yang disebutkan itu.

Perubahan agenda ini bermakna, tiada ruang terbuka untuk mana-mana usul, baik oleh kerajaan mahupun pembangkang. -MalaysiaKini