Tidak sehaluan dengan Mahathir, Anwar hormati keputusan tiada usul undi tidak percaya
KUALA LUMPUR: Berbeza daripada Tun Mahathir, Anwar Ibrahim beranggapan tidak timbul usul soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 18 Mei ini, tegas beliau yang juga Ketua Pembangkang,
Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) sepakat menghormati dan memuliakan institusi Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan bertitah pada sesi pembukaan penggal Parlimen.
"Sebenarnya tidak timbul usul soal jawab, sidang ini kita mesti menghormati dan memuliakan institusi Yang di-Pertuan Agong. Baginda datang, tanpa kira parti berikan penghormatan dan beradab bersopan memuliakan institusi raja dan tanggungjawab memenuhi Perlembagaan.
"Selain dari itu saya tidak jangka apa-apa boleh diadakan kerana Tuan Yang Dipertua akan panggil sidang, mendengar titah YDP Agong dan selepas itu majlis bersurai sehingga tarikh ditetapkan.
"Tidak boleh kita buat pencelahan dan tidak sesuai adab dan peraturan, kami dari pembangkang Pakatan Harapan akan membantah sekiranya ada apa-apa upaya menganggu perjalanan majlis tatkala raja menyampaikan titah," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam kenyataan yang disiarkan menerusi video di akaun media sosial Instragramnya pada Khamis.
Anwar berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada netizen mengenai pendirian pembangkang khususnya PKR dan PH berhubung sidang Parlimen yang akan berlangsung pada Isnin ini.
Sebelum ni, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, sidang Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Mohamad Ariff, pindaan itu dibuat selepas menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setelah pengumuman Mohammad Ariff, Tun Mahathir telah memuatnaik video untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya kerana usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang diusulkan olehnya telah ditolak dan beliau juga mempersoal kenapa hanya perlu dengar titah ucapan YDP Agong sahaja.-Astro Awani