Tunggu penjelasan bank, kalau tak adil baru kita bantah sama-sama -Najib
ULASAN NAJIB RAZAK: Kekeliruan berhubung faedah ke atas pinjaman sewa beli dan pinjaman Islamik nampaknya berpunca dari beberapa penulis blog dan portal yang salah faham apa yang dimaklumkan oleh BNM pada 26 Mac - seperti contoh yang saya lampirkan di bawah di mana mereka sudah potongkan apa yang mereka tulis sebelum ini.
Malah, apa yang dinyatakan oleh ABM juga selari dengan apa yang disebut oleh BNM. Tetapi ia diterjemahkan dengan cara yang salah hingga menimbulkan kekeliruan.
Apa yang disebut mengenai penalti pembayaran lewat adalah bagi mereka yang tidak mahu mengambil moratorium akan dikenakan penalti tetapi jika mengambilnya, tiada penalti dikenakan tetapi hanya faedah terakru sahaja.
Pada 25 Mac lagi, BNM telah menegaskan bahawa faedah terakru tetap akan dikira walaupun bayaran ansuran ditangguh 6 bulan
Bisnes sebuah bank adalah amat mudah. Bank akan terima dana deposit daripada pelanggan mereka. Lepas itu, bank akan gunakan dana dari deposit-deposit ini untuk beri pinjaman kepada pelanggan lain.
Bank akan mengenakan faedah ke atas peminjam mereka dan sebahagian wang ini setelah ditolak untung bank akan dibayar sebagai faedah kepada pendeposit mereka.
Jika bank tak kenakan faedah ke atas pinjaman maka bank juga tak mampu bayar faedah kepada pendeposit.
Saya telah membaca pengumuman BNM tadi dan apa yang mereka nyatakan ialah bank-bank perlu menyempurnakan perjanjian sedia ada untuk pinjaman Islamik dan sewa beli untuk mengambil kira penangguhan 6 bulan yang diberi.
Itu sahaja kerana terma perjanjian sudah berubah akibat penangguhan bayaran prinsipal/pokok pinjaman selama 6 bulan.
Penangguhan juga adalah automatik tetapi perjanjian baru mungkin perlu dibuat atau surat kebenaran baru ditandatangan oleh peminjam untuk bersetuju bahawa terma pinjaman telah berubah.
Ini adalah isu undang-undang perjanjian - bukan kerana bank nak untung lebih.
Mekanisma untuk mencapai keperluan undang-undang ini mungkin berbeza antara bank.
Mengikut pengiraan saya kenaikan ansuran bulanan baru yang akan disemak semula selepas tempoh tangguhan 6 bulan untuk mengambil kira tunggakan faedah terakru dalam tempoh itu, dijangka tidaklah besar.
Nasihat saya ialah untuk tunggu bank masing-masing untuk memaklumkan kepada kamu apakah perbezaannya sebelum kita membantah.
Kerana saya percaya ianya tidak masuk akal untuk bank-bank dan kerajaan PN untuk menambahkan beban ke atas rakyat pada masa Covid ini dan saya percaya mereka tidak akan berbuat demikian.
Berilah peluang kepada bank masing-masing untuk menjelaskan dulu.
(Tak siapa yang suruh kita bayar esok atau bulan depan, Kan ini tempoh PKP? Kita ada masa untuk bersabar seketika)
Jika masih tak adil dan tak patut, barulah kita membantah bersama-sama.
BACA: Polemik moratorium: Apa pilihan kita?
BACA: Cari penyakit, Wak Doyok dipanggil polis kerana salah guna lambang Sultan Johor