PULAU PINANG - Seorang anggota polis yang sedang bertugas dalam sekatan jalan raya nyaris dilanggar warga emas yang memandu dalam keadaan mabuk berdekatan pusat beli-belah Queensbay di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 64 tahun itu ditahan sejurus dia cuba melanggar anggota polis tersebut.
Menurutnya, warga emas itu turut bertindak agresif selain mengeluarkan kata kesat ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Queensbay pada jam 10.30 malam tadi.
"Ketika kejadian, dia yang memandu kereta jenis Ford Fiesta dari arah pusat beli-belah Queensbay menghala ke pusat bandar didapati berada di bawah pengaruh alkohol.
"Ketika kereta suspek ditahan, dia cuba melanggar anggota polis yang sedang bertugas, namun anggota tersebut sempat mengelak. Suspek turut bertindak agresif dan memaki anggota polis yang menahannya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini malam tadi.
Beliau berkata, hasil ujian saringan pertama, suspek berada bawah pengaruh alkohol dengan bacaan nafasnya 218 mikrogram (mg)/100 milimeter (ml).
"Ujian awal di lokasi operasi mendapati kadar kandungan alkohol dalam spesimen nafasnya adalah 218 mg /100 ml yang mana had yang dibenarkan adalah 35 mg/100 ml nafas.
"Suspek yang tinggal di Taman Lip Sin, Sungai Dua itu dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk ujian saringan kedua.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya. -Sinar Harian
warga emas tersebut ditahan polis |