Abu Syafiq jadi bingung, wanita ingin disamannya tukar jadi lelaki bermisai
Pendakwah bebas dikenali sebagai Abu Syafiq hairan dan bingung apabila wanita yang ingin disaman kerana memfitnahnya kini bertukar menjadi laki-laki.
Dalam satu hantaran di media sosial, Abu Syafiq berkata beliau ingin mengemukakan saman kepada individu berkenaan kerana mendakwa dirinya telah mengkafirkan orang.
"Inilah wajah orang yang telah memfitnah saya. Dia memfitnah saya kononnya saya mengkafirkan orang Islam dan menghina kerja amal.
"Saya bersumpah demi Allah saya tidak mengkafirkan orang Islam dan tidak hina pekerjaan baik orang Islam.
"Siapa jumpa orang ini sila buat laporan polis ya. Dan bagi tahu dia saya 'kirim salam' serta bertanya kenapa wajah anda dah jadi gelap dan bermisai?" tulis beliau di laman sosial Instagram.
Abu Syafiq turut memuat naik gambar wanita yang didakwa memfitnahnya dengan dua versi berbeza termasuk memiliki misai.
Abu Syafiq sebelum ini mengundang kontroversi apabila dikatakan "mengkafirkan" penyampai motivasi dan ahli perniagaan Ebit Liew.
Pendakwah bebas itu pada 23 April memaklumkan bahawa laman Facebooknya telah digodam pihak tertentu.
Ini setelah laman itu meninggalkan komen yang mengkafirkan seorang lagi pendakwah bebas, Ebit Lew, berdasarkan gambar tangkap layar laman berkenaan hari ini.
“Penting. Page Facebook saya kena godam. Ustaz Abu Syafiq Al-Asy'ary atas nama Ustaz Abu Syafiq Al-Asy'ary.
“Harap maklum. Saya Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak kafirkan orang Islam. Harap maklum,” kata Abu Syafiq dalam satu teks pesanan kepada Malaysiakini.
Pada 7 Mei lalu, ekoran kontroversi itu Abu Syafiq memfailkan saman terhadap Amin Idris selepas personaliti televisyen terbabit enggan membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam kenyataan didakwa berbaur fitnah.
Peguam mewakili Abu Syafiq, Nurul Hafidzah Hassan, mengesahkan saman ke atas Amin dan seorang individu lain yang tidak didedahkan identitinya difailkan di mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuantan hari ini.
Menurut peguam dari firma NHA Advocates and Solicitors itu Amin disaman atas dakwaan memuat naik kenyataan memusnahkan jenama peribadi, imej dan reputasi Abu Syafiq.
Amin, 39, sebelum itu memuat naik kenyataan melalui akaun Facebook ekoran kecaman Abu Syafiq ke atas seorang lagi pendakwah bebas iaitu Ebit Lew.
Perkongsian Amin itu menjadi tular sebaik ia dimuat naik ke media sosialnya.
-MalaysiaKini