"Ada yang percaya Tun dapat jumlah, tapi sampai harini tak dapat" -Anwar
Pakatan Harapan memang pernah membincangkan Dr Mahathir Mohamad sebagai pilihan kedua untuk perdana menteri, kata presiden PKR Anwar Ibrahim.
Menurutnya cadangan ini diusulkan bagi mendapatkan jumlah ahli parlimen mencukupi untuk mengambil alih Putrajaya. Walau bagaimanapun, Anwar berkata pada masa ini, Mahathir juga tidak mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup.
Ketika berucap kepada penyokongnya melalui Facebook secara langsung, Anwar berkata DAP dan Amanah tidak pernah berkalih untuk memesongkan dokongan mereka daripada menyokongnya menjadi perdana menteri.
"Jadi kawan-kawan fikir kalau begitu dia kata Anwar tidak cukup jumlah boleh tak kita fikirkan pilihan kedua, iaitu berikan ruang kepada Tun Dr Mahathir.
"Jadi ada yang percaya Tun Mahathir dapat jumlah. Tapi sampai hari ini tak dapat. Jumlah belum ada," kata ahli parlimen Port Dickson itu.
Bagaimanapun, Anwar tidak mengatakan sama ada PKR atau PH sebagai satu muafakat bersetuju dengan pilihan kedua ini ketika mesyuarat itu.
Sebelum ini DAP dan Amanah berkata Majlis Presiden PH telah mengesahkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menterinya dalam pertemuan pada 30 Mei.
Beliau berkata PKR tidak boleh bersetuju untuk menjadikan Mahathir sebagai perdana menteri, dan ada kekhuatiran kerana pengalaman pada masa lalu dalam berurusan dengan bekas pengerusi PH itu.
Anwar jumpa 'kawan lama' di Sarawak
Menurut Anwar, berdasarkan ketetapan syarat untuk memastikan Dr Mahathir mengundurkan diri dalam tempoh enam bulan menunjukkan bahawa DAP dan Amanah juga sepenuhnya yakin terhadap bekas perdana menteri itu.
Mereka turut menjelaskan persetujuan jika Anwar tidak dapat memperoleh jumlah sokongan mencukupi ahli parlimen untuk membentuk kerajaan, maka Dr Mahathir menjadi pilihan untuk menjadi perdana menteri.
Antara alasan yang diberikan DAP dan Amanah, Anwar gagal dalam usaha mendapatkan sokongan GPS.
“Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara,” menurut kenyataan bersama Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook pada 19 Jun lalu.
Anwar malam ini berkata beliau berada di Sarawak pada hari Selasa untuk bertemu "kawan lama" yang telah mengundangnya ke negeri itu.
Beliau tidak menyebut siapa kawan lama itu, dan enggan memberi ulasan sekiranya GPS telah menolaknya sebagaimana laporan The Malaysian Insight.
""Orang kata GPS tolak Anwar. Itu terserah, GPS bebas mewakili rakyat Sarawak.
"Beri mereka kebebasan untuk tentukan sikap mereka.
"Saya tak nak menyinggung lebih daripada itu. Selain daripada kata usaha kita akan diteruskan," jelasnya.
Menurut Anwar lagi, PKR tidak berputus asa untuk merebut kembali kuasa daripada PN, tetapi mereka tidak akan menggunakan kaedah membeli sokongan atau mengancam ahli parlimen.
"Kita harap dapat menarik minat kawan-kawan kita ahli parlimen dari semua pihak untuk selamatkan negara dan ekonomi negara," katanya.
Terdahulu, ketua whip PKR Johari Abdul mendedahkan Anwar ada bertemu dengan beberapa pemimpin di "blok lain" sebelum ini, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan pemimpin negeri Sarawak.
Kerajaan PH runtuh pada hujung Februari selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada gabungan parti pemerintah itu, ditambah dengan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah membentuk pentadbiran PN. -MKini