Ungkapan "Melayu Pemalas" adalah kesilapan Mahathir dan PH -Anwar
EKSKLUSIF| Melabelkan "Melayu malas" adalah antara kesilapan taktikal yang berlaku ketika pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya menumbangkan BN.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata PH perlu mengakui bahawa sepanjang mentadbir negara pemimpinnya telah mengeluarkan kenyataan yang melukakan hati orang Melayu.
Jelas Anwar dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, berkata PH gagal mengatasi masalah orang Melayu dengan baik ketika mereka diprovokasi.
"Saya kata, bagi peluang, soal kemalasan sudah dijawab ratusan tahun. Baca (tulisan) Jose Rizal, The Indolence of The Filipinos.
"Baca (tulisan) Syed Hussin Alatas, Mitos Pribumi Malas, The Myth of The Lazy Native. Ini sudah dijawab.
"Tapi masih ada ketua-ketua kita yang masih menyebut, Melayu ini malas, ini melukakan," katanya ketika wawancara.
Bagaimanapun Anwar tidak menyebut nama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sering melabelkan "Melayu malas".
Mahathir dan pemimpin Muafakat Nasional dalam Kongres Maruah Melayu
Mahathir sering menggunakan perkataan Melayu malas bagi membangkitkan semangat orang Melayu untuk terus maju ke depan.
Kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan PH dimulakan dalam protes membantah retefikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada akhir tahun 2018.
Umno dan PAS telah menjadikan isu berkenaan sebagai senjata politik mereka apabila mendakwa usaha kerajaan PH untuk meretifikasikan Icerd sebagai usaha untuk melemahkan kedudukan Islam, institusi raja dan orang Melayu.
Protes orang Melayu terhadap PH diteruskan lagi berhubung kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di Kuil Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November tahun lalu.
Ia ekoran kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan dan menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.
Kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan berkuasa apabila Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak keluar pakatan itu pada Februari lalu.
Ia kemudiannya disusuli dengan kem bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut bertindak meninggalkan PH.
Bersatu dan kem Azmin kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS dan parti dari Sabah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH juga tersilap langkah apabila berusaha memenuhi janji untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) "terlalu awal" terutama ketika sokongan orang Melayu semakin terhakis.
"Kemudian dalam bincang soal bahasa Cina, UEC, sekolah Cina, yang kita boleh terima, tapi pendekatan kita terlalu awal.
"Belum tegaskan kedudukan bahasa Melayu, kemantapan bahasa Melayu, usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, kita sudah bicara soal bahasa lain.
"Padahal kita harus tegaskan perkara ini dulu kerana PH pakatan baru, kerajaan baru. Tegaskan kedudukan bahasa Melayu, kemudian tonjolokan sebarkan masyarakat untuk masa depan anak-anak muda, mesti kuasai bahasa Inggeris dengan baik," katanya lagi.
BACA: Jawatan PM ke-9 bukan hak mutlak Anwar -Maszlee
Oleh: MalaysiaKini