Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan pelantikan ramai anggota Parlimen ke jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di saat negara berdepan masalah ekonomi dan pengangguran susulan wabak Covid-19.
Anwar berkata, apatah lagi jika anggota Parlimen yang dilantik hanya sekadar untuk menerima elaun besar tetapi tiada pengalaman untuk mengangkat GLC tersebut.
"Saya dari awal mengatakan tidak menolak kalau ahli Parlimen itu juga seorang profesional dan juga teknokrat serta punyai pengalaman yang boleh menyelamatkan. Tetapi kalau sekadar dilantik kemudian dengan elaun besar ia tidak membantu," katanya ketika siaran langsung di Facebooknya hari ini.
Beliau memetik Anggota Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB). Terdahulu timbul dakwaan bahawa beliau menerima elaun bulanan kira-kira RM1 juta.
Bagaimanapun TNB dalam kenyataan semalam menafikan perkara itu dan berkata jumlah yang diterima Mahdzir jauh lebih rendah berbanding dakwaan itu dan ia dinyatakan dalam laporan tahunan syarikat.
"Umpamanya pengerusi TNB, kalau ikut notis mesyuarat atau laporan tahunan TNB, bayaran atau upah yang diterima oleh pengerusi adalah RM30 ribu sebulan, itu asas.
"Cuba kita bandingkan dengan kedudukan ekonomi sekarang dan pengangguran anak muda dan juga golongan yang telah bekerja yang menganggur," kata Anwar.
Anwar memetik laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2020 yang menyatakan kadar pengangguran negara melonjak kepada lima peratus dan jumlah penduduk yang tiada pekerjaan meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang.
"April sahaja telah cecah lima peratus dan dijangka akan meningkat. Di satu pihak, rakyat yang banyak ini sudah (hampir) sejuta menganggur tetapi ahli Parlimen yang bergaji RM15,000 sebulan tambah lagi RM20-30 ribu sebulan," katanya lagi.
Pada masa sama, Anwar menyuarakan kekecewaan melihat beberapa individu yang memimpin GLC terpaksa melepaskan jawatan mereka.
Beliau merujuk peletakan jawatan Abdul Jalil Rasheed sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad dan penukaran bekas CEO Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk menjadi pengerusi Malaysia Airlines Berhad (MAB).
"Saya teruskan dengan beberapa berita mengejutkan, pertama pengunduran Wan Zulkiflee dan kemudian tokoh teknokrat muda yang terkenal di peringkat antarabangsa terutama dengan pengalaman di Singapura iaitu saudara Abdul Jalil (yang) seolah-olah ditekan dan meletakkan jawatan di PNB, itu sangat mengecewakan."
Beliau juga menyebut pelantikan Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria sebagai pengerusi Lembaga -Mkini