Bekas CEO PNB dakwa diganggu panggilan tidak dikenali, LinkedIn digodam antara punca letak jawatan
Bekas presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed berkata beliau memilih "jalan sukar" untuk melepaskan jawatan, sambil pada masa sama perlu berperang dengan hati nuraninya sendiri.
Beliau berkata demikian semasa sesi townhall dengan kakitangan PNB bagi menjelaskan peletakan jawatannya hari ini.
Salinan ucapan itu turut dihantar melalui e-mel kepada kakitangan PNB.
"Ketika saya mengambil peranan ini, saya mengatakan pada diri sendiri bahawa saya tidak akan pernah goyah dalam prinsip saya dalam menjalankan tugas.
"Sering kali, membuat keputusan yang tepat dibebani kesulitan dan sebahagiannya tidak popular.
"Jalan yang mudah adalah dengan terus menikmati keistimewaan di pejabat, sambil berperang dengan hati nurani kamu sendiri.
"Saya selalu percaya bahawa tidak ada individu yang lebih besar daripada institusi. Saya tidak berniat menyeret PNB dalam (isu) ini.
"PNB mesti dilindungi dengan segala cara. Oleh itu, saya telah memilih jalan yang sukar, sendirian, yang menghancurkan saya dan keluarga," katanya tanpa mengulas lanjut.
Dalam ucapannya, Abdul Jalil turut mendedahkan bahawa beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB.
"Paling keterlaluan bagi saya adalah gangguan yang harus saya alami akibat panggilan dari nombor yang tidak dikenali, akaun e-mel korporat saya dan profil LinkedIn saya digodam.
"Ini membuatkan saya semakin bimbang tentang kesejahteraan keluarga saya.
"Pada akhirnya, saya memutuskan bahawa tidak adil bagi keluarga saya sekiranya masalah ini berterusan.
"Keluarga saya membuat pengorbanan yang besar, juga dari segi kewangan untuk berpindah kembali ke KL dari Singapura kerana saya benar-benar ingin menyumbang kepada pembangunan negara.
"Saya kecewa ini harus berakhir secara tiba-tiba," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Jalil, dalam ucapan perpisahannya, mengatakan beliau tidak menyesali keputusannya menyertai PNB.
"Sembilan bulan kebelakangan ini merupakan penghargaan kepada saya. Saya belajar banyak dan berpeluang mengenali anda semua dengan lebih baik.
"Anda semua telah menyambut, menunjukkan saya keramahan yang hebat dan dedikasi dan keinginan yang tulus untuk menjadikan PNB tempat yang lebih baik," katanya.
PNB, dalam satu kenyataan dua jam selepas sesi townhall berkenaan, mengesahkan peletakan jawatan Abdul Jalil.
Lembaga pengarah PNB dikatakan menerima pengunduran Abdul Jalil dan menyampaikan penghargaan atas kepemimpinan dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Lembaga pengarah juga telah meluluskan pelantikan pengganti, dan pengumuman akan dibuat setelah menerima peraturan kelulusan yang diperlukan," katanya.
A. Kadir Jasin meroyan dengan perletakan jawatan Jalil
Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mendakwa ada usaha daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadikan PNB sebagai "gravy train" (buat duit dengan usaha sedikit).
Beliau mendakwa ada usahawan bumiputera tertentu melobi kerajaan untuk memecat Abdul Jalil supaya mereka dapat memanfaatkan PNB demi keuntungan peribadi.
"Namun saya masih ada sedikit keyakinan bahawa masih ada sebilangan kecil melayu profesional yang tidak sanggup menjadi tali barut kepada pencuri dan penyangak kerana di sanubadi mereka tersemat nilai murni untuk melakukan kebaikan kepada negara dan rakyat jelata," katanya dalam catatan di blognya.
PNB musykil dengan kelayakan akademik Jalil
Menurut Suara TV, Abdul Jalil Rasheed dipercayai telah dipanggil oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) baru-baru ini berhubung kelayakan akademiknya.
Difahamkan Jalil dikehendaki memberi penjelasan tentang kemusykilan berhubung kelayakan akademiknya yang dijadikan maklumat profail sebagai pengurusan tertinggi di PNB dan anak-anak syarikat PNB.
MalaysiaGazette juga difahamkan pertemuan SC dan Abdul Jalil itu berlangsung pada 11 Jun lalu.
Plantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif PNB pada 2019 lalu pernah dipertikaikan beberapa pihak yang mendakwa beliau adalah cucu saudara kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pelantikannya disifatkan sebagai lantikan politik yang tidak berkaliber.
Bekas Pemikir JASA, Tun Faisal mempertikai perlantikan Abdul Jalil sebagai CEO PNB pada 2019 |
-Tun Carlos