Belum capai kata sepakat siapa calon PM -Ketua Setiausaha PH
Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya masih belum mencapai kata sepakat mengenai calon perdana menteri mereka.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung di antara parti komponen dan rakan-rakan pembangkang.
"Saya mengikuti beberapa laporan media berkait dengan calon perdana menteri dan ingin menegaskan kenyataan-kenyataan tersebut tidak berasas dan bukannya dikeluarkan oleh Pakatan Harapan mahupun Pakatan Harapan Plus.
"Sementara kita menghormati pandangan serta komen-komen yang diberi pelbagai pihak, sayugia dimaklumkan perbincangan masih lagi dilakukan di antara komponen Pakatan Harapan dan rakan-rakan pembangkang.
"Kenyataan rasmi tentunya akan dikeluarkan apabila keputusan muktamad dicapai," katanya dalam kenyataan media.
Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub memberitahu Malaysiakini bahawa perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan.
"Kita boleh sebut begini la, meeting in progress. Ok, still waiting. Still tunggulah kita akan membuat keputusan dalam masa terdekat," katanya tanpa menjawab soalan mengapa ia ditangguhkan.
Salahuddin berkata tiada tempoh tertentu ditetapkan untuk membuat keputusan tersebut dan hanya mengatakan mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata 'kenyataan rasmi' mengenai perkara itu sedang disiapkan namun tidak memberitahu bila ia akan dikeluarkan.
Pembantu kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebelum itu menafikan laporan berita yang mendakwa PH Plus telah membuat keputusan untuk menamakan Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.
PH Plus terdiri daripada Amanah, PKR, DAP, Warisan dan empat anggota parlimen yang berpihak kepada Dr Mahathir.
Laporan portal Free Malaysia Today juga mendakwa gabungan itu bersetuju agar Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga akhir 2020 sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.
Beberapa minggu selepas mendakwa memiliki angka mencukupi untuk mengambil alih semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN), isu mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri masih menemui jalan buntu bagi PH Plus.
Minggu lalu, Anggota Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang berpihak kepada Mahathir berkata, jawatan perdana menteri kesembilan itu bukan hak mutlak Anwar kerana PH memerlukan pengaruh Mahathir bagi mendapat sokongan ahli parlimen untuk berkuasa semula.
Kenyataan itu mendorong sejumlah pemimpin PKR membidas semula Maszlee dengan mengatakan jawatan berkenaan juga bukan milik mutlak Mahathir. -MKini