Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Benarkah derma darah boleh naikkan berat badan? 7 mitos bakal dijawab


Darah adalah cecair badan utama yang memelihara nyawa. Ia merupakan 7% berat badan manusia. Darah memainkan peranan penting dalam mengangkut nutrien, elektrolit, hormon, antibodi, oksigen dan sebagainya ke seluruh badan. Darah juga mengandungi berbagai komponen seperti sel darah putih, sel darah merah, platlet dan plasma.

Sel darah merah boleh hidup lebih kurang 120 hari di dalam badan. Selepas itu, sel darah merah akan mati dan akhirnya dibuang dari badan. Seterusnya, sel darah merah baru dihasilkan oleh sum-sum tulang bagi menggantikan sel darah merah yang mati.

Terdapat berbagai mitos berkaitan pendermaan darah yang menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat. Oleh itu, ramai orang mengelakkan diri dari menderma darah.


Mitos 1: Menderma darah boleh menyebabkan berat badan naik atau turn.

Menderma darah tidak memberi kesan ke atas berat badan. Ada yang berpendapat bahawa proses menderma darah menggunakan banyak tenaga. Oleh itu, mereka perlu mengambil makanan yang lebih untuk menambahkan tenaga dan darah. Akibatnya, berat badan mereka bertambah.

Sebenarnya darah yang hilang melalui pendermaan darah akan merangsang badan untuk menghasilkan sel-sel darah baru sebagai pengganti. Menurut kajian yang dijalankan oleh University of California di San Diego, menderma 1 unit darah (473 ml) akan menggunakan kira-kira 650 kalori tenaga6. Namun, ia tidak sesuai dijadikan sebagai pelan panjang untuk menurun berat badan. Ini adalah seseorang hanya dibenarkan untuk menderma darah semula selepas 2 – 3 bulan.

Mitos 2: Menderma darah boleh mendapat penyakit berjangkit.

Ada yang berpendapat penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan sebagainya boleh dijangkiti melalui pendermaan darah. Penyakit-penyakit ini dijangkiti melalui penggunaan jarum yang sama oleh berbagai penderma darah.

Perkhidmatan pendermaan darah sentiasa mengamalkan penggunaan jarum dan picagari baru untuk setiap pendermaan. Jarum dan picagari yang telah digunakan akan dibuang segera selepas setiap pendermaan darah dan tidak boleh digunakan untuk penderma darah lain. Ini adalah untuk memastikan keselamatan kepada penderma darah dan juga produk darah.

Prosedur mengambil darah juga menggunakan teknik aseptik bagi memastikan penderma darah dan darah adalah bebas dari kuman dan selamat.


Mitos 3: Darah yang diderma boleh simpan lama.

Ada juga yang menyangka bahawa darah yang diderma boleh disimpan selama-lamanya dan diperolehi bila diperlukan. Oleh itu, menderma darah boleh dilakukan sekali sekala.

Jangka hayat sel darah merah di dalam badan adalah kira-kira 120 hari. Sel darah merah akan merosot bila berada di luar badan manusia. Oleh itu, sel-sel ini dipelihara dengan bahan awet dan nutrien dalam simpanan. Secara umum, sel darah merah yang diderma boleh hidup sekitar 35 – 42 hari. Maka, pendermaan darah perlu dilakukan berterusan bagi memastikan stok darah tidak berkurangan.

Mitos 4: Menderma darah mengambil masa yang panjang.

Menderma darah terdiri daripada 4 langkah mudah, iaitu, pendaftaran, penyaringan dan pemeriksaan kesihatan, pengambilan darah serta berehat. Satu sesi menderma darah mengambil masa kurang daripada sejam kecuali untuk pendermaan jenis apheresis yang akan memakan masa satu jam 30 minit.

Jangkamasa menderma darah juga banyak bergantung kepada bilangan penderma darah hadir dalam sesebuah kempen derma darah dan keupayaan pasukan pendermaan darah dalam mengendalikan aktiviti tersebut. Bilangan penderma darah yang tinggi akan mengambil masa lebih sejam untuk menyempurnakan proses menderma darah.


Mitos 5: Pendermaan darah akan menyebabkan badan saya lemah.

Seorang dewasa sihat mempunyai purata 4.7 liter darah. Isipadu darah yang diambil untuk setiap pendermaan adalah lebih kurang 350 – 450 ml, iaitu 7.5 – 9.5% daripada jumlah isipadu darah. Kekerapan pendermaan darah adalah 3 bulan sekali. Tempoh ini cukup untuk badan menghasilkan sel darah merah baru.

Setiap penderma darah perlu melalui saringan kesihatan rapi yang dikendalikan oleh anggota perubatan terlatih sebelum mereka dibenarkan untuk menderma darah.

Pada umumnya, menderma darah tidak akan melemahkan badan kecuali individu tersebut ada masalah kesihatan.

Mitos 6: Terdapat ramai penderma darah di Malaysia. Kenapa saya perlu menderma darah?

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan4, kira-kira 2.5% daripada jumlah penduduk di Malaysia adalah penderma darah. Angka ini jauh lebih rendah dari standard antarabangsa, iaitu 5%. Kumpulan penderma darah yang kecil akan semakin susut disebabkan peningkatan usia dan faktor-faktor lain, sekiranya tiada penglibatan yang lebih dari masyarakat.

Akibatnya, stok darah sukar diperolehi dan kaedah-kaedah rawatan pun berkurangan kerana rawatan yang menggunakan darah tidak dapat dijalankan.

Oleh itu penglibatan masyarakat yang lebih aktif akan membantu mengekalkan keperluan terhadap darah.





Mitos 7: Individu Muslim tidak boleh derma atau terima darah dari orang bukan Muslim.

Agama Islam menekankan kepentingan nilai hidup dan Muslim diwajibkan untuk melakukan sedaya upaya mereka demi menyelamatkan nyawa. Agama, pegangan dan kepercayaan lain juga mengamalkan prinsip yang sama.

Bila darah menjadi satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa, ia perlu diderma dan diterima tanpa paksaan dan prasangka terhadap mana-mana agama, bangsa dan jantina.

Mitos 8: Individu yang mengalami tekanan darah tinggi dan mengambil ubat sebagai rawatan tidak boleh menderma darah.

Ada orang yang membuat anggapan bahawa orang yang mengalami tekanan darah tinggi tidak layak untuk menderma darah. Lebih-lebih lagi mereka yang mengambil ubat tekanan darah tinggi.

Sebenarnya perkhidmatan pendermaan darah menerima darah yang diderma oleh individu yang mengambil ubat tekanan darah tinggi dengan syarat tekanan darah mereka adalah stabil dan tidak dipengaruhi oleh masalah kesihatan lain yang merumitkan.

Doktor perlu membuat penilaian ke atas penderma darah ini bagi menentukan kelayakan mereka untuk menderma darah tanpa menjejaskan kesihatan mereka.

Rujukan

  1. Pusat Darah Negara. http://www.pdn.gov.my/
  2. Medical Daily. http://www.medicaldaily.com/why-donating-blood-good-your-health
  3. Mukhtiar Baig, Hamed Habib, Abdullah H. Haji, Faisal T. Alsharief, Abdulelah M. Noor, and -Riyadh G. Makki (2013) Knowledge, Misconceptions and Motivations Towards Blood Donation Among University Students in KSA. Parkistan Journal of Medical Science. 29(6): 1295–1299.
  4. Namgay Shenga, Ranabir Pal, and Subhabrata Sengupta (2008). Behavior disparities towards blood donation in Sikkim, India. Asian Journal of Transfusion Science. 2(2): 56–60.
  5. Pusat Darah Negara. http://www.pdn.gov.my/
  6. The Blood Center. http://www.thebloodcenter.org/