Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Covid-19: Beijing tutup pasar borong terbesar Asia, wujud kluster baru


CHINA | Sebuah daerah di Beijing diletakkan di bawah keadaan seolah-olah 'darurat perang' selepas kebimbangan tercetusnya gelombang baru Covid-19, lapor Reuters.

Ibu kota China itu juga dilaporkan melarang acara sukan dan kegiatan pelancongan pada hari Sabtu selepas kluster jangkitan Covid-19 dikesan berpusat di sekitar kawasan pasar borong utama.

Seorang pegawai daerah Chu Junwei dipetik laporan Reuters berkata empat puluh lima orang daripada 517 yang diuji dengan teknik sapuan tekak di pasar Xinfadi di daerah Fengtai barat daya kota Beijing telah menunjukkan hasil positif Covid-19.

Chu juga dipetik Reuters berkata mereka yang diuji positif tidak menunjukkan gejala Covid-19.


Jelasnya lagi, 11 kawasan kejiranan di sekitar pasar itu, yang dikatakan sebagai pasar borong pertanian terbesar di Asia, telah dipagar dengan kawalan 24 jam.

"Selaras dengan prinsip mengutamakan keselamatan dan kesihatan orang ramai, kami telah menerapkan langkah-langkah penutupan untuk pasar Xinfadi dan kawasan sekitarnya," kata Chu.

Menurutnya, daerah itu kini seolah berada berada di bawah keadaan "darurat masa perang."

Penutupan pasar dan sekatan baru dikenakan ketika timbulnya kebimbangan mengenai gelombang kedua wabak itu, yang telah menjangkiti lebih dari 7.66 juta orang di seluruh dunia dan mengorbankan lebih 420,000 nyawa.


Seluruh pasar Xinfadi ditutup pada pukul 3 pagi pada hari Sabtu (jam 1900 waktu GMT pada hari Jumaat), setelah dua lelaki yang bekerja di sebuah pusat penyelidikan daging yang baru-baru ini mengunjungi pasar tersebut dilaporkan positif virus tersebut.

Bagaimanapun, kata laporan Reuters lagi tidak jelas bagaimana mereka dijangkiti.

Pada Sabtu, pintu masuk pasar disekat dan polis mula berkawal. Pihak berkuasa Beijing sebelumnya menghentikan penjualan daging lembu dan daging kambing di pasar tersebut dan telah menutup pasar borong lain di sekitar bandar itu.

Lebih 10,000 orang di pasar Xinfadi dijangka akan mengambil ujian asid nukleik untuk mengesan jangkitan Covid-19.


Virus di papan pemotong ikan salmon

Menurut laman web Xinfadi, lebih 1,500 tan makanan laut, 18,000 tan sayuran dan 20,000 tan buah diniagakan di pasar berkenaan setiap hari.

Berikutan laporan di akhbar kendalian kerajaan China bahawa koronavirus ditemui di papan pemotong untuk ikan salmon yang diimport di pasar, pasar raya besar di Beijing mengeluarkan salmon dari rak jualan mereka semalam.

Kebimbangan itu juga merebak ke bandar-bandar lain, dengan pasar borong pertanian utama di Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan di barat daya China, dilaporkan berkatan ia akan mengeluarkan produk ikan salmon dari raknya mulai Sabtu.

Di Nanjing, ibukota provinsi Jiangsu timur, sebuah persatuan restoran tempatan berkata akan menghentikan penyediaan makanan yang mengandungi makanan laut mentah atau produk haiwan.

Beberapa penduduk Beijing, bagaimanapun dipetik Reuters berkata mereka yakin pihak berkuasa dapat mengawal keadaan. -Reuters