Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Harakah meterai perjanjian dengan Bernama


Harakah menandatangani perjanjian langganan berita dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selama dua tahun sebagai langkah untuk menyalurkan lebih banyak berita semasa kepada pembacanya.

Perjanjian langganan itu adalah untuk perkhidmatan Bernama NewsLink5 yang menawarkan berita masa nyata elektronik mengenai peristiwa di Malaysia dan sejagat.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Harakah Kamaruzaman Mohamad dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain.


Kamaruzaman berkata dengan langganan itu, pihaknya cuba untuk membawa pendekatan baharu kepada pembaca supaya mereka bukan sahaja hanya mendapatkan maklumat parti politik, tetapi juga berkaitan isu-isu semasa.

Kamaruzaman Mohamad dan Datuk Mokhtar Hussain.

"Kami cuba membawa pembaharuan itu sejak saya memimpin Harakah pada bulan Ogos tahun lepas dengan membawakan lebih banyak berita-berita umum yang bukan daripada sumber parti PAS menerusi saluran portal, cetakan, radio Hijau FM, TVPAS dan Harakah TV.

"Setakat ini kami mencetak sekitar 30,000 naskhah akhbar Harakah, portal Harakah Daily sekitar tujuh juta hit sebulan, dan sasaran kami iaitu minimum 30 juta hit pada akhir tahun ini.



"Kami berharap langganan dengan Bernama dapat memberikan lonjakan kepada kami mencapai sasaran 30 juta hit," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Harakah juga mahu dijadikan sebagai saluran pendidikan politik kepada pembaca selain masih lagi menjadikan agenda maklumat politik sebagai kandungan utamanya.

"Antara fokus kami adalah melaporkan tindakan-tindakan yang dibuat oleh kerajaan, sebahagiannya kami melaporkan berita-berita parti, selain negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, di samping maklumat pentadbiran (kerajaan) di Putrajaya," katanya.

- Bernama