"Harap enggang hinggap pada PH, rupanya setia kepada Perikatan" Azmin sindir Guan Eng
Kumpulan menteri kanan, Azmin Ali, dilihat melakukan serangan ke atas Pakatan Harapan (PH) apabila mereka berjaya menarik masuk seorang lagi ahli parlimen gabungan itu menjadi penyokong Perikatan Nasional (PN).
Menurut Malaysiakini, blok itu bertanggungjawab melakukan rundingan bagi membawa Anggota Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang keluar dari PKR dan menjadi anggota parlimen Bebas yang menyokong kerajaan PN serta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semalam.
Sumber terbabit juga mendakwa rundingan tersebut membabitkan Anggota Parlimen Saratok, Ali Biju dengan Jugah dan dimulakan sejak dua minggu lalu.
Ali antara 10 anggota parlimen PKR - diketuai oleh Azmin - yang berpaling tadah dan 'melompat' ke Bersatu.
Selepas membuat pengumuman keluar PKR, Jugah dilihat mengadakan pertemuan dengan Azmin hari ini. Pertemuan berlangsung di kediaman rasmi menteri kanan terbabit.
Hadir sama Ali yang juga bekas naib presiden PKR.
Mereka dilaporkan akan ke kediaman rasmi Muhyiddin tengah hari ini. Di sana, Jugah akan menyerahkan surat akuan berkanun (SD) kepada Muhyiddin yang menyatakan sokongannya kepada kerajaan PN.
"Syabas YB Jugah Anak Muyang, The Iban Warrior!" ciap Azmin di Twitter miliknya.
Pagi ini saya menerima kunjungan YB Jugah Anak Muyang, Ahli Parlimen Lubuk Antu & mantan Naib Presiden KEADILAN bersama-sama YB Ali Biju. Saya menyambut baik tekad politik beliau untuk bersama Perikatan Nasional demi kepentingan pembangunan dan kemakmuran rakyat Lubuk Antu. pic.twitter.com/0z11Od9aR1— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) June 6, 2020
Semalam mengiringi pengumuman Jugah meninggalkan PKR untuk menjadi anggota parlimen bebas, Azmin menciap sesuatu di Twitter.
"Harapkan kenyalang hinggap harapan, rupanya kenyalang setia perikatan. Jom, pergi Taman Burung yang lain. Berharap agar burung enggang mendarat di Harapan tetapi ternyata burung enggang itu setia kepada Perikatan," ciap Azmin menyindir Lim Guan Eng yang semalam membuat posting berkenaan burung enggang.
Enggang biasanya dirujuk kepada Sarawak yang terkenal dengan gelaran bumi kenyalang.
Ketika dihubungi, Jugah mengesahkan beliau telah mengeluarkan kenyataan untuk mengumumkan langkah itu berkuatkuasa serta-merta.
Ia sekali gus meneutralkan gerakan kumpulan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat mendapat momentum baru dengan peletakan jawatan bekas setiausaha agung Bersatu, Shahruddin Md Salleh, daripada jawatannya sebagai timbalan menteri kerja raya.
Shahruddin merupakan bekas setiausaha politik Muhyiddin yang memenangi kerusi parlimen Sri Gading dalam pilihan raya umum 2018.
Berdasarkan tempat duduk sidang singkat parlimen pada 18 Mei lalu, PN hanya memiliki majoriti dua kerusi sementara PH memberi bayangan bahawa ia memiliki jumlah yang mencukupi untuk merampas kembali Putrajaya.