Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jika 28 hari tiada kes, Malaysia istihar bebas Covid-19


Malaysia hanya akan mengisytiharkan bebas Covid-19 jika tiada kes direkodkan dalam tempoh 28 hari.

Tempoh itu bersamaan dua kitaran inkubasi virus itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ketika pemerhatian dan pemantauan terhadap satu-satu kluster dibuat, tempoh sama diguna pakai setelah tiada lagi kes direkodkan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.


Tiada kes tempatan hari ini

Setelah dua hari berturut-turut tanpa sebarang kes penularan tempatan yang membabitkan warga negara, hari ini Kementerian Kesihatan mengumumkan terdapat 31 kes baru.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hariannya di Putrajaya, hari ini, berkata, dengan jumlah itu, kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 8,369 kes.

“Daripada 31 kes baru yang dilaporkan, 11 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 20 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan hanya satu kes adalah di kalangan warganegara Malaysia iaitu merupakan kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz,” katanya.


Perincian bagi 19 kes di kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:

• 16 kes Kluster Pedas di Negeri Sembilan;

• Satu kes Kluster Kampung Sungai Lui, Selangor;

• Satu kes Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur;

• Satu kes saring.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 51 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,065 kes atau 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Beliau turut mengumumkan bahawa jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini adalah 1,186 kes.

Katanya, mereka itu telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 118 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. -MKini