Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah putuskan Farid Kamil dipenjara 1 tahun 1 bulan


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid Kamil, 39, bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.


Nor Ariffin menjatuhkan hukuman terhadap pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.

"Oleh itu, mahkamah mendapati Farid Kamil bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak," katanya.


Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid Kamil menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, sementara peguamnya memfailkan rayuan.

Aktor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Januari 2018.

Ketika rayuan, Farid Kamil yang diwakili peguam Kee Wei Lon, meminta agar mahkamah mengenakan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atau denda minimum atas alasan dia adalah penanggung utama keluarga yang menyara isteri, dua anak serta ibu bapanya.


Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam dalam kes sedemikian.

"Saya juga memohon mahkamah mengambil kira perasaan malu yang ditanggung pengadu (Muhammad Nizam) dalam kes ini," katanya.

Perbicaraan kes itu, yang bermula pada 27 November 2018, telah menyaksikan tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Farid Kamil, memberi keterangan. -MyMetro