MB Selangor meroyan, minta Daroyah kosongkan DUN
Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari menggesa bekas timbalan ketua wanita parti itu, Dr Daroyah Alwi untuk mengosongkan kerusi DUN Sementa yang disandangnya.
Ini selepas Daroyah, yang juga merupakan bekas ketua Wanita PKR Selangor mengumumkan keluar dari parti itu dan melepaskan jawatan timbalan speaker DUN Selangor.
"Susulan peletakan jawatan beliau, saya menggesa Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah," katanya pada suatu kenyataan malam ini.
Amirudin juga menyifatkan tindakan Daroyah keluar PKR sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang telah mengundi PH pada PRU14 lalu.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang telah mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Negeri Selangor melalui Pilihanraya Umum Ke-14 yang lepas," katanya lagi.
Hilang kepercayaan pada Anwar
Amirudin yang juga menteri besar Selangor turut berkata perletakan jawatan Daroyah selaku Dewan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor.
"Saya yakin Adun PKR serta semua lapisan jentera PKR terutamanya ketua-ketua cabang PKR merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.
"PKR dan PH Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat," jelasnya.
Dr Daroyah merupakan wakil rakyat terbaru yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden PKR dan Menteri Kanan PN Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan parti itu.
Bekas timbalan ketua Wanita PKR itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
"Saya juga meletakkan jawatan sebagai ketua cabang Kapar bersama ahli-ahli jawatankuasa Kapar termasuk pimpinan sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK)," kata Daroyah ketika mengumumkan keluar parti bersama 48 pemimpin PKR lain petang tadi.
Bagaimanapun, jelasnya, selaras dengan keputusannya itu, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Adun dengan efektif bagi rakyat kawasan itu.
Dengan tindakan Daroyah keluar parti, kerusi PKR di DUN Selangor menjadi 18, tetapi masih kekal sebagai parti terbesar dalam Pakatan Harapan.
Buat masa ini, PH masih menguasai 42 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang dianggotai 56 orang.
Bagaimanapun, lebih ramai lagi wakil rakyat dijangka akan berpaling tadah dari kalangan sekutu Azmin yang tidak berpuas hati tetapi masih berada dalam PKR.
-MKini