MN yakin menang 2/3, hanya PRU15 jalan keluar kamelut politik dicetus Mahathir dan Anwar
Muafakat Nasional telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat ini berdasarkan kepada situasai politik semasa negara.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, berkata Umno dan PAS sentiasa bertemu bagi mebincangkan isu semasa membabitkan politik negara.
"Kita sentiasa berhubung dan berjumpa, mesyuarat jawatankuasa perundingan (Muafakat Nasional) diadakan semalam.
"Parti politik...macam-macam isu politik dibincangkan," katanya kepada Malaysiakini, ketika dihubungi hari ini.
Khaled Nordin |
Dua hari lalu, di tengah-tengah keadaan politik negara yang tidak stabil, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat partinya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15.
Kesediaan itu dinyatakannya selepas menerima kunjungan bekas perdana menteri Najib Razak di kediamannya.
"Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?" katanya di Facebook hari ini.
Kenyataan itu di saat kemelut peringkat Persekutuan yang masih berterusan, dengan PH, Dr Mahathir Mohamad dan Warisan mendakwa memiliki majoriti untuk merebut kembali kuasa dari Perikatan Nasional (PN).
PN mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu setelah Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari PH untuk membentuk kerjasama baru dengan Umno, BN dan PAS, dengan sokongan GPS.
Menurut sumber parti itu, pertemuan Zahid dan Najib berkisar tentang kesedian menghadapi PRU ke-15 dan persiapan pilihan raya kecil Dun Chini.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman pula menyifatkan Mufakat Nasional telah lama melakukan persiapan bagi menghadapi PRU-15.
Tajuddin Abdul Rahman |
Kesediaan muafakat itu untuk menghadapi PRU diterjemahkan apabila memenangi lima pilihan raya kecil sebelum kerajaan persekutuan bertukar tangan kepada Perikatan Nasional (PN).
"Kita telah bersedia dari awal lagi, menang lima pilihan raya kecil bermula di Cameron Highlands dan terakhir di Kimanis.
"Malah kita yakin boleh menang besar dalam PRU-15 ini dan kita lihat peluangnya cukup cerah.
"Rakyat juga berpuas hati dengan kerajaan (PN) hari ini yang turut disokong oleh Umno dan PAS," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, peluang untuk Muafakat Nasional menguasai Putrajaya tampak jelas asalkan masing-masing parti memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi.
Katanya lagi, soal agihan kerusi telah pun dibincangkan dan ia akan dimuktamadkan bila tiba masanya, namun parti-parti dalam Muafakat Nasional akan memastikan tiada pertembungan tiga penjuru.
Sementara itu Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan menyokong PRU-15 diadakan lebih awal bagi mengembalikan kestabilan politik negara.
Shahir Adnan |
Tambahanya, mandat baru amat penting bagi membolehkan negara keluar daripada kemelut politik yang direncanakan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
"Tiada isu dalam pembahagian kerusi kerana masing-masing patuh kepada keputusan pucuk pimpinan Muafakat Nasional. Keutamaan haruslah diberikan kepada rakyat.
"Kita berdoa agar Muafakat Nasional diberikan kemenangan besar agar negara dapat keluar daripada kemelut politik Dr Mahathir dan Anwar.
"Calon-calon muda perlu diberikan tempat agar politik Malaysia diberikan nafas baru," katanya.
-MalaysiaKini