Muhyiddin perlu kekal PM selepas PRU15, tiada kes mahkamah dan pernah lawan kleptokrasi -Wan Saiful
Perikatan Nasional (PN) berpotensi menjadi lebih stabil berbanding Pakatan Harapan (PH) dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) kata salah seorang pemimpin Bersatu hari ini.
Menurut Wan Saiful Wan Jan untuk mencapai kestabilan itu, Umno perlu banyak berkorban dan tidak lagi boleh mendominasi gabungan itu seperti yang mereka lakukan dalam BN.
Langkah berkenaan, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, membolehkan PN dibentuk dengan lebih baik berbanding gabungan politik yang ada sebelum ini.
"Setakat ini ada 12 parti yang telah menyatakan persetujuan membentuk PN. Ada sebilangan kecil tokoh Umno yang kelihatan tidak selesa dan ini memang tidak pelik.
"Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu. Sudah pasti ada pemimpin Umno yang risau.
"Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, Umno perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi," katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.
Beberapa pemimpin kanan Umno pula mengingatkan PN adalah pertubuhan politik yang tidak berdaftar, berbeza daripada BN yang menjadi entiti sah.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno juga dilaporkan menolak penubuhan PN.
Difahamkan juga, beberapa pemimpin Umno tidak selesa dengan laporan sebuah portal berita yang mendedahkan hasrat Bersatu mahu bertanding sehingga 50 kerusi pada PRU ke-15 yang diramal diadakan lebih awal.
Menurut Wan Saiful pemimpin Umno bukan orang baru dalam politik dan mereka banyak pengalaman menguruskan perubahan.
"Berikan mereka masa dan hormati proses dalaman mereka," katanya.
Wan Saiful yang juga pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional menambah, mengikut amalan demokrasi antarabangsa tiada kewajiban untuk sesebuah gabungan parti politik didaftarkan.
"Tetapi di negara kita, rakyat sudah terbiasa dengan gabungan yang berdaftar.
"Saya secara peribadi merasakan pendaftaran tidaklah penting sangat. Bagaimanapun, saya faham bahawa tanpa pendaftaran akan ada banyak soalan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan.
"Maka dalam konteks hari ini, saya merasakan pendaftaran adalah prasyarat yang perlu dipenuhi dan saya harap pengumuman mengenainya boleh dibuat segera untuk menghilangkan kegusaran ahli-ahli semua parti komponen," katanya.
Sementara itu, Wan Saiful juga menegaskan tiada perebutan untuk menjadi perdana menteri dalam PN, justeru Muhyiddin perlu dikekalkan sebagai calon perdana menteri sehingga selepas PRU ke-15.
"Dalam PN perebutan kuasa seperti PH tidak wujud. Muhyiddin disokong oleh semua parti. Muhyiddin baru berumur awal 70-an dan kekal segar setelah berjaya melawan kanser.
"Tambahan pula tidak ada tokoh parti lain yang boleh dinobatkan sebagai perdana menteri sekarang.
"Muhyiddin tidak mempunyai kes mahkamah dan tidak ada bagasi negatif, malahan merupakan individu yang bangkit melawan kleptokrasi sebelum ini," katanya.
Tambah bekas calon Bersatu untuk kerusi parlimen Pendang itu, kredibiliti Muhyiddin sama ada dalam usaha melawan rasuah atau mempertahankan institusi Melayu dalam negara memang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa. -Mkini