Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mujahid meroyan, dakwa negara menuju zaman gelap jika PH tidak berkuasa semula


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tertegak hari ini atas kebencian kaum dan agama yang membentuk tahap sokongan penyokong tegarnya, ujar Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa.

Malah, katanya, negara ini sedang menuju ke ekstrim kanan dengan retorik anti-DAP, Islam terancam dan Melayu hilang kuasa' dan akan terus berada dalam “kegelapan” sekiranya kerajaan pimpinan Perdan Menteri Muhyiddin Yassin itu dibenarkan untuk terus berkuasa.

“Kita sedang menyaksikan Malaysia semakin menjadi neo-konservatif dalam tindak tanduk PN.

“Kuasa PN bergantung talian hayat kepada kebencian antara kaum dengan risiko perpaduan nasional terancam.


“Isu Melayu Islam dipolitikkan begitu rupa sehinggakan hubungan antara kaum semakin meruncing ke arah gap keharmonian yang semakin melebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut bekas menteri agama kerajaan PH itu, kuasa PN juga bergantung kepada sejauh mana aparatus kerajaan dieksploitasikan untuk mengekalkan kuasa termasuk ugutan, ancaman dan pendakwaan terpilih.

Semua ini, katanya, demi sebuah kuasa yang dirampas dan menidakkan mandat rakyat yang jelas mahukan penamatan kepada kebobrokan ini.

“Zaman gelap semakin terserlah selagi PH tidak ambil semula mandat.

“Kuasa yang ada dalam PN tidak stabil dan kesetiaan hanyalah kepada kepentingan apa yang dapat diraih dan bukan untuk mentadbir negara dan rakyat,” katanya.


Kenyataan Mujahid itu dibuat susulan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa bahawa PH dan sekutunya kini mempunyai sokongan 107 anggota parlimen.

Pada Februari lalu, Kerajaan PH tumbang susulan Tun Mahathir meletak jawatan, manakala Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan gabungan Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan baru bersama-sama Bn dan PAS.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata perundingan rakyat di bawah PN telah dikompromikan dengan mengabaikan amalan demokrasi berparlimen.

Beliau merujuk kepada satu hari persidangan parlimen pada 18 Mei yang hanya diadakan bagi mendengar titah diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Sebuah kerajaan yang hilang fokus dan hanya mementingkan untuk terus berkuasa akan menggadai prinsip negara dengan menjadikan politik untuk berjual-beli demi sebuah kuasa.


“PN sejak awal kemunculannya tidak ada kena mengena untuk memelihara prinsip tegaknya sebuah negara.

“Nilai perundingan rakyat dikompromi dengan menidakkan amalan demokrasi berparlimen. Berbilion kantong negara dibelanjakan tanpa kelulusan parlimen sejak Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, ketika ditegur mengenai Pakej Rangsangan Prihatin, Muhyiddin langsung tidak peduli malah terus mengumumkan Pakej Penjana untuk rangsangan kedua juga tanpa kelulusan parlimen.

“Runtuh sebuah demokrasi yang sepatutnya dipertahankan oleh mana-mana pemerintah. Prinsip undang-undang kini hanya agenda sampingan, katanya.

Mujahid turut merujuk, dua kes rasuah melibatkan individu terkenal yang telah dibebaskan.

Beliau berkata, amalan rasuah yang telah didakwa nampak semakin malap sinaran keadilannya apabila satu persatu kes rasuah besar dilepaskan.


“Pertama Riza Aziz, terkini Aman Musa, malah ia membawa mesej kemungkinan Najib (Razak) dan kemudian Ahmad Zahid (Hamidi) akan digugurkan dakwaan,” katanya.

“Yang lain hanya menanti 'berita gembira'.

“Ironinya kes rangkaian 1MDB dan kaitannya di negara lain telah disabitkan penyelewengan,” kata Mujahid.

Untuk rekod Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu melepaskan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Perjanjian untuk gugurkan kes Riza Aziz bermula dengan izin Tommy Thomas sebelum kerajaan PH tumbang lagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengulas bahawa Tommy Thomas  bersetuju dengan penyelesaian kes Riza dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pengubahan wang.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman pula bukan dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di Sabah dengan  begitu saja. Ia diputuskan setelah mendapat pengakuan sumpah dari bekas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dan juga bukti dokumen dari Suruhanjara Rasuah Hong Kong.

-Tun Carlos