Pemandu Volvo memandu di lorong motosikal telah disiasat polis, bukan sebab mabuk
Labels:
Isu Semasa
KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan kertas siasatan seorang pemandu kereta Volvo yang memasuki lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu berlaku sekitar 5 apetang pada semalam dan kertas siasatan itu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun telah diarahkan hadir ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk dirakam keterangan.
“Tindakan itu menyusul ekoran kes tular di media sosial melibatkan sebuah kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Volvo memandu di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dari Petaling Jaya menuju ke Shah Alam.
“Siasatan polis ke atas suspek mendapati, dia dalam perjalanan dari syarikatnya di Jalan Sungai Besi ke Pusat Servis Volvo di Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan.
“Semasa dalam perjalanan pemandu yang menggunakan aplikasi navigasi Waze telah menunjukkan arah laluan motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, menyedari kesalahannya pemandu telah cuba untuk mencari jalan keluar dari lorong motosikal dengan dibantu penunggang motosikal di jalan tersebut.
Katanya, semakan polis juga terhadap telefon bimbit pemandu berkenaan mendapati dia melalui laluan motosikal tersebut disebabkan daripada aplikasi navigasi Waze yang tersalah setting dalam mod kenderaan motosikal.
“Ujian saringan air kencing ke atas pemandu juga menunjukkan negatif. Dia telah dilepaskan selepas dirakam keterangan sementara kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” tegas beliau.- MalaysiaGazette