Pemimpin Bersatu Pro-Mahathir protes, keluar lebih awal dari mesyuarat tergempar
Beberapa anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diketahui berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan mesyuarat parti itu malam ini, selepas hampir dua jam mesyuarat berlangsung.
Antara yang dilihat keluar mesyuarat pada jam 10.45 malam tadi ialah Ahli MPT Bersatu, Abu Bakar Yahya, Ketua Penerangan Armada, Ulya Husamudin, pemimpin lainnya Akramsyah Sanusi dan Tariq Ismail.
Difahamkan mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin masih lagi berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu merupakan mesyuarat MPT pertama dihadiri oleh perdana menteri setelah beliau selesai menjalani kuarantin selama 14 hari yang berakhir semalam, susulan seorang pegawai yang hadir mesyuarat pascakabinet di pejabatnya disahkan positif Covid-19.
Menurut Ulya, tujuan mereka keluar lebih awal adalah kerana untuk memprotes keputusan bagi mengesahkan perlucutan jawatan Tun M dan juga mengesahkan penggabungan Perikatan Nasional.
Terdahulu hari ini, Anggota MPT Bersatu A Kadir Jasin menolak jemputan untuk hadir mesyuarat malam ini, berkata hanya pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad yang boleh memanggil mesyuarat itu diadakan.
Kadir juga menegaskan bahawa panggilan untuk bermesyuarat malam ini melanggar arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melarang diadakan sebarang aktiviti.
Bagaimanapun, ROS pada suatu kenyataan kemudian menjelaskan telah memberikan lampu hijau untuk Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu malam ini.
ROS berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilonggarkan kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 1 Mei lalu.
[Berita lanjut menyusul]