Senarai lima pemimpin Armada yang ditahan SPRM
Seramai lima orang pemimpin Armada telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan mengenai wang tunai bernilai ratusan ribu yang didakwa milik parti Bersatu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM600,000 dari rumah dua anggota Pemuda Bersatu (Armada) semalam.
Menurut laporan The Star, wang tersebut dipercayai milik parti itu.
Antara yang ditahan adalah:
1- Rafiq Hakim Razali, Bendahari Armada
2- Adam Mukhriz, pembantu kepada Tun Mahathir
3- Hannan Khairy, Exco Armada
4- Redzuan Shafi, penolong setiausaha Armada
5- Danie Khusairi, ketua Armada Setiawangsa.
Pengarah siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali dipetik sebagai berkata, seramai dua ahli Armada disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.
"Setelah disoal siasat, pegawai pergi ke rumah kedua-dua anggota berkenaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.
"Para pegawai menemui sejumlah RM600,000 wang tunai di dua lokasi," katanya.
Laporan itu menambah SPRM juga merampas sebuah kereta berharga RM100,000 milik pihak ketiga yang dipercayai telah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan.
SPRM menolak dakwaan bahawa siasatan berkenaan bermotifkan politik dan menegaskan suruhanjaya itu hanya menyiasat aduan yang dibuat Syed Saddiq berhubung kehilangan wangnya pada Mac lalu.