Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

TERKINI: Dua Ahli Parlimen DAP Perak masuk Gerakan


KUALA LUMPUR – Akhirnya arah tuju Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam yang keluar dari DAP pada 9 Mac lalu, terjawab.

Beliau hari ini secara rasmi menyertai Parti Gerakan dan mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan negeri Perak pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sivasubramaniam yang menyandang DUN Buntong selama tiga penggal berturut-turut bertindak keluar DAP setelah merasakan tertipu dengan perjuangan dan paksi sebenar parti itu.


“Saya telah mengalami pengalaman pahit selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di peringkat pusat dan Perak khususnya.

“DAP mendakwa parti itu multiracial atau pelbagai kaum, tetapi sebenarnya terlalu pahit untuk saya nyatakan. Demokrasi dalam parti ini dikuasai oleh satu dua yang berkuasa. Mereka ini mengenepikan kesuburan demokrasi yang kononnya diperjuangkan parti.

“Selama 22 bulan menjadi kerajaan, tidak ada siapa boleh tegur atau nasihatinya,” katanya dalam kenyataan kepada media.


A. Sivasubramaniam (kanan) mengumumkan menyertai parti Gerakan, manakala dua lagi bekas ADUN PH, Choo Kiong (tengah) dan Hasnul Zulkarnain masih dalam blok Bebas.

A. Sivasubramaniam antara tiga ADUN PH Perak yang keluar parti dan memilih untuk menjadi ADUN bebas pada 9 Mac lalu.

Dua lagi ialah ADUN Tronoh dari DAP, Yong Choo Kiong dan ADUN Titi Serong dari Parti Amanah Negara (Amanah), Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim.

Ketiga mereka membuat pengumuman itu sejurus selepas sidang media khasa Ahmad Azumu yang memberitahu, parti Bersatu, UMNO dan Pas Perak bersetuju untuk membentuk sebuah gabungan baharu.


Menurut A. Sivasubramaniam, sebelum itu beliau telah berbincang dengan kepimpinan Gerakan dan mencapai kata sepakat mengenai hasratnya untuk menyertai parti itu.

“Saya kini bukan lagi ahli DAP, dan saya buat keputusan ini demi kebaikan dan kebajikan penduduk dalam DUN saya.

“Walaupun ada yang menyatakan keputusan saya buat ini membelakangkan kepercayaan rakyat, tetapi biarlah rakyat yang tentukannya.

“Yang jelas, selama 22 bulan PH memerintah, campur tangan dalam pemerintahan negeri amat parah sekali. Segelintir dari mereka hanya mementingkan diri sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette